X

Kindly register in order to view this article
!

Husam gagal isytihar hak Wisma Tok Guru

Wisma Tok Guru di Salor yang menjadi rebutan dua pihak bermula pada tahun 2017. Gambar kecil: Husam
A
A

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa gagal dalam tuntutan pengisytiharan hak terhadap bangunan Wisma Tok Guru di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan pemilik berdaftar, Mohd Yasin Yusoff mengikut Kandungan 26 di bawah Aturan 18 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk membatalkan keseluruhan saman Husam.

Peguam Mohd Yasin, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, Wan Ahmad Farid juga membenarkan permohonan Mohd Yasin untuk penghakiman terus mengikut Kandungan 11 permohonan di bawah Aturan 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 iaitu penelitian kes berdasarkan isu undang-undang tanpa keperluan perbicaraan penuh.

“Keputusan ini bermakna pemilikan Wisma Tok Guru dimuktamadkan hak pemilikannya kepada Mohd Yasin selain boleh dinikmati oleh Pas Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Yasin yang juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan memfailkan kedua-dua permohonan itu pada November 2017.

Sebelum itu, Husam terlebih dulu memfailkan tuntutan pengisytiharan hak terhadap premis itu pada 15 November 2017 dan pampasan sekiranya gagal.

Wisma Tok Guru asalnya dimiliki bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang menamakan isterinya sebagai pemilik dan dijual kepada Mohd Yasin dengan harga RM700,000.

Pada masa sama, wisma itu masih digunakan sebagai Pejabat ADUN Salor oleh Husam yang mendakwa mendapat kebenaran daripada pemilik asal tanah berkenaan.

Kemelut perebutan premis itu bermula apabila Mohd Yasin sebagai pemilik berdaftar hartanah tersebut menghantar notis pengosongan berakhir pada 12 November 2017 menyebabkan Husam yang ketika itu menduduki hartanah tersebut memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk pengisytiharan kepentingannya.

Pada 16 November 2017 Husam gagal dalam usahanya untuk mendapatkan injunksi Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang pemilik tanah daripada membenarkan mana-mana pihak mengadakan aktiviti di tanah berkenaan.

Injunksi sama dimohon Husam di Mahkamah Rayuan Putrajaya juga gagal selain turut gagal mendapatkan notis kebenaran permohonan injunksi sama di Mahkamah Persekutuan.