'BN setuju bubar Parlimen, bukan undi tak percaya Tun M'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak akan menggerakkan usaha undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad namun bersetuju agar Parlimen dibubarkan.

Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangkang percaya dan patuh kepada proses demokrasi yang perlu diterjemahkan melalui Perlembagaan.

Menurutnya, undi tidak percaya itu adalah cadangan ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut mencadangkan mengenai pembubaran Parlimen.

"Itu (bubar Parlimen) adalah pendirian seluruh ahli Parlimen pembangkang.

"Walau bagaimanapun itu adalah keputusan yang harus dibuat oleh perdana menteri.

"Bagi kami apa yang berlaku di Tanjung Piai adalah isyarat dan ia harus difahami dengan jelas," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang memperlihatkan pengundi menolak Pakatan Harapan (PH) merupakan satu manifestasi penolakan keseluruhan.

Menurutnya, walaupun bukan satu referendum peringkat nasional tapi satu referendum kecil.

Artikel Berkaitan:

"Saya nampak bahawa pengundi Cina pada keseluruhannya telah berbalik kepada calon BN di Tanjung Piai.

"Daripada 93 saluran, BN cuma kalah di satu saluran. Kita menang di semua PDM (pusat daerah mengundi).

"Pengundi muda daripada pelbagai kaum juga balik mengundi BN," katanya.