1,491 pegawai, anggota polis kawal keselamatan

Mazlan menunjukkan lakaran kawasan parkir di sekitar kawasan stadium.
Mazlan menunjukkan lakaran kawasan parkir di sekitar kawasan stadium.
A
A
A

SERAMAI 1,491 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk memastikan kelancaran perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya akan memastikan keadaan keselamatan sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.

"Kehadiran dianggarkan seramai 85,000 penonton akan membanjiri stadium berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur tadi.

Mazlan berkata, pihaknya akan memulakan tugas seawal jam 8 pagi bagi mengawal pergerakan trafik keluar masuk ke kawasan stadium, manakala penugasan kawalan keselamatan akan bermula pada jam 2.30 petang.

“Saya minta penyokong jangan ambil tindakan sendiri dan timbulkan huru hara, provokasi melampau sehingga menyebabkan pergaduhan," katanya

Mazlan berkata, pemeriksaan juga akan dilakukan terhadap penyokong di pintu masuk stadium bagi menghalang mereka membawa masuk bahan terlarang seperti mercun, bunga api, laser, pemetik api, payung, tongkat dan suar serta senjata tajam ke dalam stadium.

"Kita akan mengambil tindakan tegas jika mereka membawa bahan terlarang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 2,800 lot parkir disediakan di kawasan stadium.

Artikel Berkaitan:

"Penyokong tidak boleh letak kereta di bahu jalan, bimbang akan berlaku halangan dan kesesakan lalu lintas," katanya.

Menurutnya, parkir D sahaja dikhaskan untuk penyokong Indonesia.

"Sebanyak 400 lot disediakan di parkir D untuk penyokong Indonesia, selepas itu mereka boleh masuk ke dalam stadium melalui pintu E," katanya.