Polis tahan lelaki disyaki miliki 50.15 gram dadah

A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah dipercayai syabu seberat 50.15 gram yang disorokkan di dalam kenderaan suspek, dianggarkan bernilai lebih RM7,523 dalam satu serbuan di kawasan Pelabuhan Sabah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki warganegara Filipina berumur 31 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas risikan dan bertindak atas maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu.

“Semasa ditahan, suspek berada di tempat letak kereta berhampiran Pelabuhan Sabah dan apabila diperiksa terdapat syabu yang disorokkan di bawah tempat duduk pemandu, kereta milik suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun hasil ujian urin terhadap suspek berkenaan didapati negatif dan suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek kemudiannya ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: