MOA sasar 1,200 usahawan agroprenuer muda tahun hadapan

No Image Caption
A
A
A

KOTA BELUD - Kementerian Pertanian dan Industri Asas (MOA) menyasarkan 1,200 usahawan di bawah program agroprenuer muda berjaya dilatih pada tahun hadapan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, RM20 juta diperuntukkan di bawah Geran Agropreneur Muda (GAM) iaitu bantuan berbentuk barangan untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan agroprenuer.

"Bagi mencapai hasrat itu, MOA menjalankan jelajah ke seluruh negara bagi melihat usahawan yang berpotensi untuk dikembangkan dan potensi masing-masing," katanya kepada pemberita sempena program Jelajah Agropreneur Muda di Sabah di Kampung Tambotouan di sini semalam.

Mohd Sallehuddin berkata, program agroprenuer muda itu meliputi bidang tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, agropelancongan dan pemasaran yang boleh diceburi usahawan berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, bagi negeri Sabah, seramai 449 usahawan menyertai program itu sejak Januari 2016 hingga 30 Oktober lepas dengan jumlah peruntukan berjumlah RM6.1 juta.

Dalam pada itu, Mohd Sallehuddin berkata Kampung Tombotoun dilihat berpotensi untuk diletakkan di bawah program "Mykampung Myfuture", bagaimanapun beberapa kemudahan asas perlu ditambahbaik untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kampung itu yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

Kampung berkenaan mempunyai kawasan pelancongan yang cantik malah terletak di tepi Sungai Tombotouan selain mampu menghasilkan padi berasaskan bahan organik

"Di sini kita dapat melihat bagaimana penduduk kampung mengusahakan eko-pelancongan yang boleh dikembangkan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Program yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini meliputi lawatan MOA ke beberapa kawasan perusahaan agroprenuer muda meliputi daerah Tuaran, Tamparuli, Kota Belud, Ranau, Tambunan dan Kota Kinabalu. - Bernama