Tun M hilang naluri kepimpinan

A
A
A

BEBERAPA hari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat terbuka kepada pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai mendakwa parti lawan memainkan politik perkauman dan perpecahan.

Menurut Dr Mahathir, permainan politik perkauman itu didalangi mereka yang terdesak kerana berhadapan dengan tindakan undang-undang akibat ketamakan dan keangkuhan mereka ketika berkuasa.

Sungguhpun tidak menyatakan parti mana yang dimaksudkan, sesiapa sahaja yang membaca bait-bait tulisan tersebut akan faham sasaran beliau adalah Barisan Nasional (BN).

Tulis Dr Mahathir lagi: “Mereka tidak peduli jika perbuatan mereka itu boleh mengakibatkan tercetusnya pertembungan di antara kaum kerana bagi mereka jika berlaku kekacauan, kemungkaran yang telah mereka lakukan akan dipinggir.

Kerana itu, tuan-tuan dan puan-puan perlu memperlihat bahawa kita tidak terpengaruh dengan politik sempit untuk kepentingan diri segelintir mereka.”

Benar Malaysia berada dalam keadaan menuju perpecahan dan 'disintegrate'. Itu realiti yang perlu kita persetujui. Sebahagian orang Melayu mencurigai kaum bukan Melayu.

Sebahagian kaum bukan Melayu pula mula merasai inilah peluang mereka merubah segala-gala status quo bumiputera dan agama Islam.

Namun menuduh BN atau UMNO sebagai pencetus perpecahan adalah tidak masuk akal dan menunjukkan Dr Mahathir telah hilang naluri kepimpinan yang cekap.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana BN yang telah meletak calon Cina di kawasan majoriti Melayu/Islam atas semangat perkongsian kuasa dan persefahaman antara kaum selama berpuluh tahun dituduh berkempen berasaskan perkauman sempit?

Sebenarnya tulisan Dr Mahathir mengenai parti lawan menggunakan perkauman dan tafsiran Islam sempit adalah naratif 1980-an yang diulang guna bila beliau menjadi PM semula.

Dulu tuduhan tersebut masuk ke dalam naratifnya kerana musuh beliau ketika itu ialah DAP (cauvinis) dan Pas (Islam ortodoks).

Hari ini, musuh beliau ialah BN, sebuah ikatan pelbagai kaum dan agama yang telah memerintah negara ini dengan aman selama lebih 60 tahun manakala Pas juga sudah lama berubah daripada Pas pada 1980-an.

Namun, dakwaan Dr Mahathir mengenai perpecahan itu ada benarnya. Ya! Dari sudut perpaduan, integrasi nasional dan nasionalisme, negara ini sedang berantakan dan berpecah-belah.

Punca

Apa yang tidak disedari oleh Dr Mahathir, perpecahan itu berpunca dari dalam kerajaan sendiri.

PKR dan DAP, dua parti terbesar Pakatan Harapan (PH), terkenal dengan gerakan menghasut semangat kenegerian di kepulauan Borneo.

Rakyat boleh ‘merasai’ pembabitan mereka secara tidak langsung dalam kempen-kempen politik anti-Semenanjung melalui ‘Sabah for Sabahan’ dan ‘Sarawak for Sarawakian’.

Hari ini parti pemerintah negeri Sarawak berhadapan sentimen kenegerian ciptaan PKR dan DAP turut mengambil langkah-langkah agak membimbangkan dan tidak mustahil boleh menjejaskan Persekutuan Malaysia pada masa hadapan.

Kerajaan Sarawak membuat pelbagai syarat baharu dalam usaha cari gali minyak dengan tidak lagi mengambil kira kedudukan syarikat Petroleum Nasional (Petronas) dan kepentingan nasional.

Sarawak juga telah mengisytiharkan mulai tahun depan sekolah di Sarawak akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik.

Ini adalah tindakan ‘membakulsampahkan’ Dasar Pendidikan Nasional.

Demikian juga di Sabah, parti Warisan memainkan sentimen kenegerian sehinggakan para pemimpin UMNO negeri tidak lagi berupaya memberi pandangan berdasarkan kepentingan nasional.

Mereka sentiasa berhati-hati dan sentiasa melihat isu dari segi emosi tempatan berbanding kepentingan nasional.

Kerajaan PH tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka sendiri yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

Mereka mendidik, menghasut dan mengasak penduduk di Borneo membenci Persekutuan dan akhirnya kini mereka merasai akibatnya.

Pemimpin Hindraf yang menjadi sebahagian kerajaan hari ini juga terkenal dengan tohmahan di luar negara yang mendakwa kerajaan Melayu (baca BN) menindas dan menzalimi penganut agama Hindu.

Ini bukan sahaja tidak benar tetapi juga menimbulkan kecurigaan orang Melayu terhadap kerajaan hari ini.

DAP pula sudah diketahui umum sentiasa mempunyai dua set pandangan mengenai antara kaum.

Dalam kalangan orang Cina, mereka mendakwa hanya menggunakan pemimpin Melayu bagi memenuhi tujuan kaum Cina. Pada pentas nasional mereka bercakap soal keadilan kaum dan rasuah pemimpin BN.

Ruang yang kecil itu tidak mampu menukilkan semua fakta mengenai perpecahan.

Cukuplah jika dikatakan bahawa jika Mahathir mahu menyelamatkan negara ini daripada perpecahan (disintegrate) beliau perlu membetulkan dari dalam partinya terlebih dahulu.