Jangan jual tiket kepada penyokong Indonesia

Paparan skrin hantaran di Facebook FAM hari ini.
Paparan skrin hantaran di Facebook FAM hari ini.
A
A
A

PENYOKONG bola sepak tempatan dinasihatkan tidak menjual tiket yang dibeli mereka kepada penyokong Indonesia apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Nasihat itu diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tidak berlakunya masalah terutama dari segi keselamatan serta aliran masuk penyokong kedua-dua pasukan ke stadium pada hari perlawanan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendakwa 5,000 penyokong Thailand menyaksikan perlawanan kelayakan antara Malaysia dan Thailand di venue yang sama pada Khamis lepas, walaupun FAM hanya memperuntukkan 2,500 tiket kepada penyokong pasukan pelawat.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir warga bola sepak Malaysia sendiri yang 'membantu' penyokong pelawat membeli tiket menggunakan kuota kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah (Malaysia) untuk masuk ke stadium, sekali gus menyukarkan pihak keselamatan menempatkan penyokong pelawat di tempat sepatutnya.

“Justeru, bagi mengelak perkara sama berulang pada perlawanan antara Malaysia dan Indonesia, FAM dan PDRM sekali lagi menasihatkan warga bola sepak Malaysia supaya tidak menjadi punca kepada masalah ini, dengan mengambil sikap bertanggungjawab tidak menjual hak penyokong Malaysia ini kepada penyokong pelawat,” tegas Stuart menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook FAM hari ini.

Beliau percaya, masalah sama tidak akan berulang sekiranya semua pihak memberi kerjasama dalam menangani isu tersebut.

Stuart memaklumkan FAM memperuntukkan sejumlah 4,500 tiket bagi penyokong pasukan pelawat seperti dimohon Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi perlawanan pada Selasa ini sambil menambah penjualan tiket berkenaan akan diuruskan sendiri oleh PSSI.

Beliau menjelaskan, penyokong skuad Harimau Malaya masih boleh membeli tiket perlawanan dalam talian di www.tickethotline.com.my, namun hanya untuk tempat duduk terbuka memandangkan tiket bagi tempat duduk utama (Grandstand) dan Premium telah habis dijual.

Artikel Berkaitan:

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan kutipan enam mata, manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

Untuk rekod, Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September lalu. - Bernama