Kemudahan elektrik di kampung orang asli tunggu kelulusan kerajaan

MUHAMAD AZLI
MUHAMAD AZLI
A
A
A

GUA MUSANG - Pelaksanaan projek bekalan elektrik di perkampungan orang asli, Pos Hendrop di sini masih di peringkat kelulusan kerajaan.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Kelantan, Bahagian Retail TNB, Muhamad Azli Ab Rahim berkata, setiap tahun TNB diminta membuat anggaran untuk projek bekalan tersebut.

Bagaimanapun katanya, sebagai pelaksana, pihaknya tetap menunggu kelulusan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Kita hanya pelaksanaan dan sehingga kini, kelulusan belum diperoleh. Kita sedia maklum mengenai isu di Pos Hendrop yang mana kawasan berkenaan tercicir dari mendapat bekalan elektrik.

"Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan bekalan kepada semua, namun ia memerlukan kelulusan di peringkat kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bernilai RM17,700 kepada masyarakat orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh di sini kelmarin.

Pos Hendrop mempunyai 971 penduduk merangkumi 250 buah rumah yang terdiri daripada lapan kampung.

Kampung yang berada di bawah pentadbiran pos ini ialah Kampung Layer, Kampung Rek Rek, Kampung Palok, Kampung Sentok, Kampung Hendrop, Kampung Plug, Kampung Sedau dan Kampung Temarik.

Artikel Berkaitan:

Meskipun berada di pinggir jalan utama Gua Musang - Lojing, namun penduduknya masih belum menikmati bekalan elektrik sehingga kini.