Pelancaran 5G mungkin bermula pertengahan tahun depan: Gobind

Gobind (dua dari kanan) bersama Adly (tiga dari kiri) semasa menyempurnakan gimik perasmian Rumah Digital Anjung Gapam, dekat Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
Gobind (dua dari kanan) bersama Adly (tiga dari kiri) semasa menyempurnakan gimik perasmian Rumah Digital Anjung Gapam, dekat Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Pelancaran teknologi 5G berkemungkinan bermula pada pertengahan tahun depan di kawasan dan industri yang memerlukan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran teknologi 5G itu tidak akan memberi tumpuan kepada negeri tertentu, sebaliknya fokus kepada kawasan dan jenis industri tertentu.

"Teknologi 5G ini telah memulakan projek rintis bulan Mei lepas yang mana laporan awal telah dikemukakan kepada kita. Sekarang kita tunggu laporan lengkap (projek rintis itu). Apabila (laporan itu) dikemukakan, saya akan bawa ke Kabinet.

"Kita perlukan sebuah polisi nasional untuk lancarkan (teknologi 5G) kemungkinan besar pertengahan tahun depan, ia suatu perkara boleh berlaku tetapi fokus kepada kawasan dan industri memerlukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Rumah Digital Anjung Gapam di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan turut hadir, Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee serta Pengerusi Telekom Malaysia Berhad, Rosli Man.

Gobind (tiga, dari kanan) bersama Adly (tiga dari kiri) ketika melawat salah sebuah rumah digital pada Majlis Perasmian Rumah Digital Anjung Gapam, dekat Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
Gobind (tiga, dari kanan) bersama Adly (tiga dari kiri) ketika melawat salah sebuah rumah digital pada Majlis Perasmian Rumah Digital Anjung Gapam, dekat Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu, Gobind berkata, usaha kerajaan melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagaikan membina lebuh raya digital yang membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi kepada penduduk luar bandar.

Beliau berkata, melalui NFCP penduduk luar bandar terutama yang tinggal di kawasan terpencil memperoleh infrastruktur digital seperti kawasan bandar yang membolehkan mereka menikmati kemakmuran bersama menerusi ekonomi digital.

Artikel Berkaitan:

"NFCP menyediakan saling hubungan mampan yang menyeluruh dan mampu milik bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kemakmuran negara. Ini adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan kerajaan untuk rakyat," katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, perkembangan pesat kemudahan internet telah menyebabkan ia menjadi penting seperti kemudahan asas air dan elektrik malah kini kemudahan asas itu memerlukan internet untuk diurus, justeru beliau mahu setiap rakyat di negara ini memiliki akses kepada internet.

Katanya, sekiranya harga kemudahan itu diturunkan dan kualiti ditingkatkan, lebih ramai rakyat dapat memilikinya, malah menurut laporan Bank Dunia dalam tempoh enam bulan pertama penurunan harga pakej internet baru-baru ini, terdapat peningkatan 21 peratus permintaan internet jalur lebar talian tetap.

"Hidup setiap rakyat akan berubah bila menggunakan internet. Kita tidak mahu ada perbezaan antara rakyat ada akses dan tiada akses kepada internet. Pada saya, internet ini bukan sahaja kemudahan asas tetapi memperkasa semua pengguna dalam kalangan rakyat daripada segi pengetahuan," katanya. - Bernama