X

Kindly register in order to view this article
!

Samun bersenjata: Dua lelaki ditahan

Gambar hiasan
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki yang masih menjalani pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan seorang rakannya, di Jalan Penaga di sini awal pagi hari ini kerana disyaki terlibat dengan kegiatan samun bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dua lelaki berusia 33 dan 36 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kereta oleh sepasukan polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di tepi jalan pada 2.30 pagi hasil risikan dan intipan.

"Polis menjalankan risikan untuk mengesan dua lelaki itu ekoran kejadian samun bersenjatakan parang membabitkan seorang pengawal keselamatan warga asing di perumahan Persiaran Bayan Mutiara, dekat sini pada jam 6.45 pagi 11 November lepas,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 36 tahun yang mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu melarikan diri daripada pengawasan mengikut Akta Poca di Baling, Kedah manakala rakannya mempunyai tiga rekod lampau.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada dua lelaki itu terlibat kes samun bersenjata lain yang dilapor berlaku daerah Timur Laut.

“Modus operandi dua lelaki itu ialah menjalankan kegiatan samun bersenjata pada awal pagi kerana orang tidak ramai dan mensasarkan warga asing sebagai mangsa,” katanya dan menambah kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu kini direman untuk siasatan lanjut. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!