'Tolong pulangkan hak kami'

Nelayan membantah sistem kultur laut di dasar laut yang didakwa diberikan kelulusan oleh sebuah syarikat swasta.
Nelayan membantah sistem kultur laut di dasar laut yang didakwa diberikan kelulusan oleh sebuah syarikat swasta.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kira- kira 30 nelayan di Kuala Sebatu di sini membantah pemasangan sistem kultur laut di dasar laut yang didakwa menjejaskan benih kerang sekali gus pendapatan mereka.

Timbalan Pengerusi Nelayan Sebatu, Zakariah Abu Bakar, 50, berkata, lokasi pemasangan sistem berkenaan oleh sebuah syarikat swasta di kawasan seluas 8.09 hektar yang didakwa telah diluluskan awal November ini adalah tempat pembiakan benih kerang semula jadi dan sedia ada.

Malah, menurutnya, kawasan itu juga adalah satu- satunya lokasi pengeluaran benih kerang dan kerang dewasa terbanyak di Melaka.

"Tolong pulangkan hak kami, kami bantah syarikat ini kerana pendapatan dan hasil tangkapan kami akan terus terjejas," katanya yang mewakili nelayan Kuala Sebatu hari ini.

Terdahulu, kumpulan nelayan itu menghadiri Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Khas Perhubungan Kepada Ketua Menteri, Mohamad Ali Shariff.

Menurut Zakariah, bantahan itu juga melibatkan kawasan penangkapan ikan dan udang yang didakwa menjadi sempit hingga menyukarkan lebih 100 nelayan kawasan terbabit termasuk 70 yang berdaftar menjalankan aktiviti harian mereka.

"Jika isu itu berterusan tanpa sebarang tindakan pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri, punca pendapatan kami akan terjejas teruk dan mengalami kerugian kerana tidak dibenarkan menangkap hasil laut di situ sedangkan hasil tangkapan laut di kawasan itu adalah hak nelayan.

"Projek itu juga telah memberi impak negatif kepada sosial ekonomi dan fizikal kerana kawasan itu mengambil masa yang lama untuk pulih seperti sedia kala," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zakariah (kanan) bersama nelayan menunjukkan kawasan yang telah dirizabkan bagi syarikat swasta berkenaan seluas 8.09 hektar.
Zakariah (kanan) bersama nelayan menunjukkan kawasan yang telah dirizabkan bagi syarikat swasta berkenaan seluas 8.09 hektar.

Tambah Zakariah, pihaknya berharap kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri, Adly Zahari dapat mempertimbangkan bantahan mereka sekali gus menghentikan operasi syarikat swasta tersebut di Kuala Sebatu.

"Kami harap projek yang diselia syarikat swasta itu dibatalkan selain dapat menyelesaikan beberapa masalah berbangkit berkaitan nelayan kerana ini sahaja punca mata pencarian kami," katanya.

Sementara itu, Mohammad Ali berkata, pihaknya akan memanjangkan kepada Ketua Menteri bagi mempertimbangkan permohonan bantahan tersebut selain kepada Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Menurutnya, kumpulan nelayan Kuala Sebatu itu telah memanjangkan permasalahan mereka pada Hari Bertemu Rakyat Perdana di Pantai Puteri minggu lalu dan datang semula bagi membangkitkan permasalahan mengenai benih kerang serta kebimbangan mereka terhadap hasil tangkapan laut susulan dakwaan kelulusan yang diberikan kepada sebuah syarikat swasta bagi memasang sistem kultur laut - dasar laut di perairan Kuala Sebatu.

"Saya difahamkan Exco Datuk Norhizam telah mengarahkan Jabatan Perikanan menyemak semula bantahan dikemukakan nelayan.

"Dalam masa sama nelayan juga mahukan jawapan segera keputusan kerana mendakwa masa kian suntuk untuk melindungi masa depan dan pendapatan mereka selain mahu hak mereka dipulangkan," katanya.