Perak umum Belanjawan 2020 RM1.098 bilion

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengumumkan peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2020 kepada RM1.098 bilion berbanding RM1.061 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daripada jumlah itu, RM771 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus manakala RM430 juta lagi disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, Belanjawan Negeri 2020 itu memberi fokus kepada empat tumpuan iaitu Menjana Ekonomi Seimbang, Keadilan Sosial; Kesejahteraan Rakyat serta Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar; Memperkasa Pendidikan dan Modal Insan; dan Memperkukuhkan Tadbir Urus dan Memupuk Tanggungjawab bersama.

"Bagi tahun 2020, ekonomi negeri diunjurkan terus berkembang pada kadar lima peratus setahun. Pertumbuhan ekonomi negeri ini dijangka kekal dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

"Belanjawan Tahun 2020 Negeri Perak direncanakan bagi merangsang ekonomi dalam mendepani segala kebarangkalian dan mengekalkan momentum pertumbuhan. Pada masa yang sama, usaha melaksanakan keadilan sosial terus dipertingkatkan. Beberapa inisiatif ditambahbaik dan inisiatif baru turut diperkenalkan bagi memperbaiki jaringan keselamatan sosial," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, pendapatan bagi tahun 2020 diunjurkan sebanyak RM1.059 bilion diperoleh daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil serta RM38.4 juta daripada terimaan pembangunan.

Katanya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan itu, Belanjawan Negeri 2020 mengalami defisit sekitar RM103 juta namun berkurang berbanding unjuran Belanjawan Negeri 2019 iaitu RM109 juta.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan Perak yakin Belanjawan Negeri pada tahun ini akan mencatatkan lebihan pada penutupan akaun 2019.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada mempelbagaikan aktiviti ekonomi dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan yang relevan dengan perubahan pesat ekonomi dunia bagi memastikan ekonomi negeri mampan.

Katanya, dasar-dasar sedia ada akan sentiasa dinilai supaya dapat disesuaikan dengan perubahan semasa khususnya perkembangan teknologi akibat ledakan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.