Pecah kereta: Dua lelaki Indonesia ditahan

Antara barang yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
Antara barang yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan kes pecah kereta di sekitar kawasan Johor Bahru Utara sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan di kawasan letak kereta di Jalan Perdekar 11, Taman Unku Tun Aminah (Tuta) kira-kira jam 8.20 malam kelmarin.

”Polis ternampak kedua-dua suspek berjalan kaki sambil memerhatikan beberapa kereta yang parkir di kawasan tempat letak kereta berkenaan.

“Salah seorang menuju ke arah cermin hadapan sebelah kiri sebuah kereta jenis Honda Accord sebelum bertindak mengetuk cermin itu manakala seorang lagi ditugaskan mengawal keadaan.

“Sebaik melihat kejadian itu, pasukan peronda menghampiri kedua-dua suspek dan menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Taib berkata, kedua-dua suspek turut bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum mereka berjaya ditahan.

“Polis berjaya menahan kedua-dua suspek dengan menggunakan kekerasan minimum yang turut mengakibatkan lelaki itu cedera ringan di kepala dan muka,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas salah seorang suspek membawa kepada penemuan beberapa barangan termasuk peralatan dipercayai untuk kegiatan pecah cermin kereta.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, antara barangan lain yang dirampas juga adalah tiga buah telefon bimbit, pasport, batu-batu kecil dan palam pencucuh (dipercayai digunakan untuk memecah cermin kereta) dan kunci sebuah bilik hotel.

“Siasatan lanjut masih diteruskan. Kita juga percaya kedua-dua suspek aktif terlibat dalam beberapa kes pecah cermin kereta di kawasan Johor Bahru Utara sejak sebulan lalu.

“Kedua-dua direman tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.