DUN Perak kecoh, Speaker tegur ADUN pembangkang

Sebahagian ADUN pembangkang bangun mempertikaikan keputusan Speaker DUN meneruskan soalan lisan lain tanpa pihak kerajaan menjawab soalan tambahan.
A
A

IPOH - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini sedikit kecoh selepas Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang mengambil masa lama mengemukakan soalan tambahan.

Kekecohan berlaku ketika ADUN Selinsing, Mohamad Noor Dawoo mengemukakan soalan tambahan mengenai masalah penanaman padi.

Disebabkan penjelasan yang panjang dan soalan lambat dikemukakan, Koo Ham kemudian membuat teguran sebelum terus melangkau soalan seterusnya tanpa soalan tambahan tersebut dijawab.

ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kemudiannya bangun membantah tindakan Koo Ham dan kemudian diikuti beberapa ADUN pembangkang yang lain.

Koo Ham menjelaskan masa 8 minit bagi setiap satu soalan lisan untuk dijawab dan dikemukakan soalan tambahan perlu dipatuhi semua ADUN bagi membolehkan lebih banyak soalan boleh dijawab oleh pihak kerajaan.

Suasana terus tegang sehingga kira-kira 10 minit apabila ADUN pembangkang terus mempertikaikan keputusan Speaker DUN meneruskan soalan lain.

Koo Ham kemudiannya mengumumkan persidangan DUN berehat selama lima minit untuk meredakan ketegangan di dalam Dewan.

Selepas persidangan bersambung, semua ADUN kembali kepada keadaan asal dan sesi soalan lisan berjalan lancar semula.