SK Bandar Anggerik juara Piala Raja Muda Selangor

SK Bandar Anggerik Shah Alam muncul juara selepas menumpaskan SK Seksyen 27(2) Shah Alam 5-0 pada perlawanan akhir di Padang Kelab Sukan SUK semalam. Gambar bawah: Tengku Amir berkenan menyampaikan pingat kepada pemain SK Bandar Anggerik Shah Alam.
SK Bandar Anggerik Shah Alam muncul juara selepas menumpaskan SK Seksyen 27(2) Shah Alam 5-0 pada perlawanan akhir di Padang Kelab Sukan SUK semalam. Gambar bawah: Tengku Amir berkenan menyampaikan pingat kepada pemain SK Bandar Anggerik Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - [VIDEO] Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Anggerik Shah Alam muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor 2019 (PRM) selepas menumpaskan Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(2) Shah Alam semalam.

Aksi final di Padang Kelab Sukan SUK itu menyaksikan SK Bandar Anggerik Shah Alam menjaringkan lima gol tanpa balas.

Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, PRM menjadi pentas terbaik bagi mencungkil bakat yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Kejohanan ini selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ingin melihat Selangor terus konsisten melahirkan pemain muda yang berbakat di peringkat akar umbi.

"Sejak 2015, seramai 14 pemain remaja bawah 12 tahun telah dikenal pasti dan diserap ke pasukan bola sepak bawah 12 dan 15 tahun negara menerusi kejohanan ini," katanya selepas perlawanan akhir kejohanan itu.

Sementara itu, SK Sri Kelana muncul tempat ketiga selepas menewaskan SK Lembah Subang dengan keputusan 4-3.

Juara kejohanan itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000 berserta piala dan pingat, manakala tempat kedua memenangi RM3,000.

Tempat ketika dan keempat masing-masing memenangi wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Artikel Berkaitan:

Penyampaian hadiah disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Khairuddin Othman; Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanum Mat Sam dan Ahli Lembaga Pengarah Perangsang Selangor Leon Koay.

Perangsang Selangor adalah penaja utama kejohanan PRM kali ketujuh berturut-turut dengan dana berjumlah RM671,310 di bawah program Sukan Untuk Semua dalam usaha membangunkan bakat atlet remaja di dalam sukan bola sepak di samping menggalakkan budaya bersukan dalam kalangan pelajar sekolah.

Perlawanan membabitkan 32 pasukan yang terdiri daripada 576 murid bawah 12 tahun di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utara.