Johor mahu perluas skim air percuma kepada M40

 Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Johor berhasrat untuk memperluaskan skim pemberian air percuma kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40) dan juga meningkatkan kapasiti sehingga 15 atau 20 meter padu, berbanding 10 meter padu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse bagaimanapun berkata, ia hanya akan dilaksanakan sekiranya keadaan kewangan kerajaan negeri mampu untuk menampung peruntukan tahunan.

Katanya, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM22 juta khusus untuk skim pemberian air percuma yang setakat ini hanya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dengan kapasiti 10 meter padu.

“Memang (berhasrat), tetapi ikut kadar kewangan negeri dan sekiranya ada penambahan kemungkinan kita akan kembangkan program ini kepada golongan M40 atau pun daripada 10 meter padu kita tingkatkan lagi kepada 15 atau 20 meter padu.

“Tetapi ini untuk masa hadapan dan bukan tahun ini...hasrat itu ada cuma faktor kewangan tidak mengizinkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penerangan Air Percuma dan Skim Peduli Kesihatan (Peka) B40 di Kampung Sungai Burong di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini skim pemberian air percuma itu telah memanfaatkan seramai 165,000 golongan B40 seluruh negeri.

Jimmy Puah turut menjelaskan bahawa peruntukan hampir RM22 juta setahun itu mampu menampung sehingga 250,000 golongan B40.

“Kita peruntukkan hampir RM22 juta tetapi tidak semua habis...kerana dalam 20 peratus mungkin ada yang tidak layak, tidak daftar.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu agar lebih ramai orang dapat manfaat...dan daripada 100 peratus sasaran kita (250,000), setakat ini hanya 80 peratus sahaja iaitu 165,000 golongan B40 yang terima manfaat,” katanya. - Bernama