'Sudah 10 hari ayah hilang'

Laporan Sinar Harian mengenai Asrah yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya di Jalan Tanah Lesen, Kampung Sungai Tengar pada 5 November lalu.
A
A

SABAK BERNAM - Keluarga Asrah Salleh, 85, yang dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu berharap warga emas itu ditemui dalam keadaan selamat.

Anaknya, Mohamad Ismail Asrah, 45, berkata, usaha pencarian ayahnya itu giat dijalankan meskipun kehilangannya sehingga kini menjadi tanda tanya.

"Kami sekeluarga berharap ayah dapat ditemui dan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat," katanya.

Mohamad Ismail berkata, pelbagai usaha dilakukan keluarga dan kenalan terdekat bagi mengesan ayahnya termasuk mengadakan solat hajat.

"Kami berdoa supaya ALLAH permudahkan urusan mencari ayah kerana kehilangannya kini sudah menghampiri minggu kedua," katanya.

Menurutnya, ahli keluarganya turut memperluaskan kawasan pencarian termasuk di Perak.

"Biasanya kami cari di sekitar kampung tetapi kini kami mula bergerak mencari ayah di beberapa kawasan di luar daerah Sabak Bernam," katanya.

Dia berkata, dia tetap yakin ayahnya itu dapat ditemui dalam keadaan selamat.

"Kami sekeluarga amat merindui ayah dan berharap dia dapat ditemui dan kami reda apa pun yang terjadi," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan kepada balai polis terdekat dan menghubunginya di talian 013-2218609.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Asrah dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya di Jalan Tanah Lesen, Kampung Sungai Tengar pada 5 November lalu.