Pengasuh dera bayi didenda RM12,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengasuh didenda RM12,000 selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan penderaan terhadap seorang bayi berusia 13 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang juga seorang penuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini.

Mahkamah turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara empat bulan jika tertuduh gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, wanita berusia 22 tahun itu dengan sengaja melakukan penderaan terhadap seorang bayi lelaki berusia 13 bulan dengan menggunakan jarum di kepala.

Atas kesalahan itu dia yang bekerja secara sambilan sebagai pengasuh di salah sebuah taska di Brickfields, didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon agar mahkamah memberi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Ini kerana katanya, tertuduh melakukan penderaan terhadap seorang bayi selain menyebabkan kecederaan di anggota penting iaitu kepala.

“Tertuduh tidak sepatutnya melepaskan perasaan pada anak asuhan yang diamanahkan oleh ibu bapa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang diwakili peguam, memohon agar hukuman yang rendah dikenakan memandangkan tertuduh masih belajar.