Pengasuh tular dera bayi direman

Wanita berkenaan diiringi polis di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada Selasa.
Wanita berkenaan diiringi polis di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa membenarkan reman selama empat hari kepada seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes mengasari dua bayi di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Mutiara Rini, hasil video yang tular di aplikasi WhatsApp, pada Isnin.

Majistret, R Salini menetapkan wanita berusia 21 tahun itu direman mulai Selasa hingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.

Pada Isnin, tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 48 dan 39 saat yang memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Tindakan wanita itu kemudiannya mengundang kemarahan netizen selepas dilihat turut 'memukul' bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.

Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.