Suami tikam isteri hamil diarah jalani pemeriksaan mental

Zulkifli dibawa keluar selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Zulkifli dibawa keluar selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang suami yang mencederakan isteri yang sedang hamil menggunakan pisau lipat menangis selepas Mahkamah Seksyen di sini hari ini memerintahkannya supaya menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan.

Hakim Mahyon Talib mengeluarkan arahan itu terhadap Zulkifli Taib, 38, mengikut Seksyen 342 (5) Kanun Prosedur Jenayah.

Mengikut pertuduhan, Zukkifli didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap isteri yang bekerja sebagai seorang guru hingga menyebabkan kecederaan di bahagian limpa.

Kesalahan didakwa dilakukan di Presint 9, Putrajaya 9 pagi pagi 8 November lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Dia juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkod kerana selepas pertuduhan dibaca, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta jurubahasa membaca pertuduhan beberapa kali dengan alasan tidak memahaminya.

Artikel Berkaitan:

Ini memaksa Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri mencelah dengan memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh mempunyai temu janji di Klinik Kesihatan Putrajaya pada 6 Disember akan datang.

“Saya percaya, tiada sebab untuk kita mengesyaki bahawa tertuduh mempunyai sempurna akal, jadi saya mohon perintah itu dibuat agar penilaian terhadap status kesihatannya dilakukan oleh pihak hospital,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Disember ini sebagai sebutan semula sementara menunggu laporan status kesihatan mental tertuduh.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berusia 35 tahun mengalami pendarahan akibat luka ditikam suaminya yang dipercayai kemurungan dipercayai akibat tekanan di tempat kerja.

Bagaimanapun mangsa yang hamil 37 minggu selamat melahirkan bayinya melalui pembedahan pada hari yang sama kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN Guru hamil cedera ditikam suami