[VIDEO] Kes pinjaman tak wujud meningkat, kerugian RM57.25 juta: PDRM

Mohd Zakaria bercakap pada sidang media berkaitan dengan OPS Waran Tangkap 2019 di Kuala Lumpur tadi.FOTO:ZAHID IZZANI
Mohd Zakaria bercakap pada sidang media berkaitan dengan OPS Waran Tangkap 2019 di Kuala Lumpur tadi.FOTO:ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan sebanyak 4,287 kes pinjaman tidak wujud melibatkan kerugian sebanyak RM57.25 juta sejak awal tahun sehingga Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya mendapati ada peningkatan kes dan jumlah kerugian pada tahun ini berbanding tahun lalu dengan kerugian paling tinggi dilaporkan mencecah RM200,000.

"Jumlah kes yang dilaporkan pada tahun lalu adalah sebanyak 4,172 kes yang melibatkan kerugian sebanyak RM35.93 juta," katanya pada sidang media, di sini tadi.

Mohd Zakaria berkata, mangsa kepada penipuan pinjaman tidak wujud bukan sahaja dari golongan biasa tetapi daripada golongan profesional, penjawat awam, pekerja bank dan ahli perniagaan yang terpedaya dengan iklan pinjaman dengan tawaran faedah yang rendah melalui Facebook, WhatsApp, Wechat, Google, Twitter dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Nama syarikat berkenaan palsu dan tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia akan digunakan dalam iklan. Ia disertakan dengan nama individu dan nombor telefon untuk dihubungi mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran pinjaman itu akan diminta membuat permohonan dalam talian dan mengemukakan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, penyata gaji, akaun bank atau salinan pendaftaran syarikat bagi pinjaman perniagaan sebelum dimaklumkan melalui panggilan WhatsApp bahawa pinjaman mereka diluluskan.

Beliau berkata, helah tersebut kemudian diteruskan dengan menipu mangsa supaya membuat pelbagai bayaran seperti yuran proses, duti setem, bayaran pendahuluan, bayaran khidmat guaman, insurans, bayaran buka akaun bank baharu dan bayaran kepada Bank Negara dengan mengarahkan mangsa membuat pembayaran melalui mesin deposit tunai atau ATM dan pindahan dalam talian kepada beberapa akaun bank individu.

"Penipuan terhadap mangsa untuk membuat pelbagai bayaran akan berterusan sehingga mangsa tidak berdaya lagi untuk membayar dan meminta dikembalikan wang yang telah dibayar kerana mahu membatalkan permohonan pinjamannya.

Artikel Berkaitan:

"Apabila mangsa tidak menerima balik wang, barulah mereka sedar telah ditipu," katanya.

Beliau berkata, PDRM telah berjaya menumpaskan 20 sindiket dengan 174 orang ditahan menjalankan aktiviti penipuan dalam operasi tersebut sepanjang tahun ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan dikenal pasti menyewa rumah kediaman, pangsapuri atau homestay dipanggil 'calling centre' melalui serbuan di beberapa buah negeri seperti Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.

"Hasil siasatan, ia membabitkan nilai kerugian sebanyak RM8 juta, kita juga telah kenal pasti seramai 779 orang menjadi mangsa sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata, seramai 62 ahli sindiket telah dituduh di mahkamah bagi kesalahan pakat jahat jenayah dalam melakukan penipuan di bawah Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan, manakala yang lain dituduh bagi kesalahan-kesalahan menerima harta curi secara tidak jujur mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, mengalih atau menyembunyikan harta secara fraud mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan memiliki harta yang disyaki curi mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.