[VIDEO] Budak meraung sakit 30 minit digigit anjing

Haduri melihat keadaan kaki Syaifulamerulrezal yang digigit anjing malam Isnin lalu.
Haduri melihat keadaan kaki Syaifulamerulrezal yang digigit anjing malam Isnin lalu.
A
A
A

PUCHONG - [KEMASKINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera pada betis kanannya selepas digigit seekor anjing peliharaan di Taman Mawar Kinrara, Seksyen 5 di sini.

Dalam kejadian malam Isnin lalu, Syaifulamerulrezal Haduri, 12, terpaksa menahan sakit hampir setengah jam apabila gigi anjing terbabit dikatakan terbenam dalam kulit kakinya yang menyebabkan luka hampir satu setengah inci.

Menceritakan kembali insiden malang itu, Syaifulamerulrezal berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu dia baru keluar dari rumah seorang rakannya yang terletak beberapa meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, anjing itu terus menerkam kakinya dan menggigit betisnya meski dia menjerit dan cuba menepis haiwan itu.

“Saya jerit dengan kuat sebab rasa sakit sangat menyebabkan penduduk di kawasan itu keluar dari rumah masing-masing memberi pertolongan.

“Selepas gigit saya, anjing itu sekali lagi cuba nak kejar sebelum kawan saya ambil kayu dan menghalaunya,” katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan kaki Syaifulamerulrezal ketika digigit anjing di Jalan TK5/24 malam Isnin lalu.
Keadaan kaki Syaifulamerulrezal ketika digigit anjing di Jalan TK5/24 malam Isnin lalu.

Menurutnya, anjing tersebut dipercayai dipelihara seorang daripada penduduk di situ namun dipercayai terlepas keluar dari pagar rumah sebelum kejadian berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Masa tu saya nampak rantai anjing dah terlepas dan pintu pagar rumah terbuka itu yang menyebabkan ia terlepas keluar,” katanya

Bapanya, Haduri Mustafa berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dihubungi penduduk di lokasi kejadian.

Katanya, dia segera ke lokasi sebelum ke klinik namun diarahkan terus membawa anaknya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya tengok kaki anak saya berlumuran darah dan lukanya agak dalam. Bila saya bawa dia ke klinik doktor minta bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan kepada pemilik yang lalai menyebabkan anjing peliharaan keluar dan menggigit orang,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Suhaibah Ismail, 61, berkata, isu anjing liar di kawasan itu sudah beberapa kali diadukan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tiada tindakan.

Menurutnya, bukan sahaja budak sekolah malah jemaah yang ke surau sering dikejar anjing liar.