Pusat pemindahan sementara pertama dibuka di Terengganu

A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Terengganu berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat berlaku malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, pusat pemindahan itu dibuka di Masjid Kampung Cheting di Hulu Terengganu pada jam 11.30 malam.

"Buat masa ini, hanya 33 penduduk daripada tujuh keluarga yang terjejas banjir dipindahkan ke PPS itu selepas rumah mereka dinaiki air.

"Banjir kilat itu bagaimanapun sudah surut dan penduduk yang terjejas mungkin dibenarkan pulang jika cuaca semakin baik hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan kebanyakan stesen bacaan di Terengganu menunjukkan trend peningkatan paras air sungai.

Tiga stesen bacaan di daerah Setiu pula menunjukkan peningkatan paras air melepasi paras waspada iaitu di Sungai Chalok, Jambatan Permaisuri dan Sungai Nerus di Kampung Langkap. - Bernama