Fenomena 'acqua alta' tenggelamkan Venice

Salah sebuah bilik di Istana Gritti di Venice yang ditenggelami banjir akibat fenomena 'alta acqua'.
A
A

VENICE - Ribut kuat membawa hujan lebat melanda Itali semalam menyebabkan kawasan di Venice dan selatan negara itu kini ditenggelami banjir akibat fenomena 'acqua alta' atau air pasang paling tinggi dalam tempoh lebih 50 tahun.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memaklumkan cuaca buruk itu turut menyebabkan sekolah terpaksa ditutup di beberapa bandar termasuk Taranto, Brindisi dan Matera.

Hujan lebat dilaporkan terus melanda pantai barat negara itu dari Tuscany hingga ke wilayah selatan Campania termasuk timur laut Sardinia.

Dataran St Mark di Venice turut tenggelam akibat fenomena 'acqua alta' tersebut dan paras banjir mencecah sehingga 1.87 meter (m) hingga menyebabkan penggera amaran banjir terpaksa dibunyikan di bandar terapung tersebut.

"Kami kini berdepan fenomena air pasang yang luar biasa akibat kesan perubahan iklim. Semua pasukan keselamatan digerakkan untuk menangani situasi kecemasan itu," kata Datuk Bandar Venice, Luigi Brugnaro yang turut bercadang untuk mengisytiharkan darurat bencana.

Difahamkan, sejak fenomena itu mula direkodkan pada 1923, paras air pernah mencecah sehingga 1.94 m pada 1966. - AFP