KPLB optimis capai naik taraf internet di 191 Pusat Komuniti Desa Pintar

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika melakukan lawatan ke Pusat Komuniti Desa Perpat Timbul, Kukup hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika melakukan lawatan ke Pusat Komuniti Desa Perpat Timbul, Kukup hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) optimis dapat mencapai sasaran untuk menaik taraf capai internet berkelajuan tinggi di 191 Pusat Komuniti Desa Pintar di luar bandar pada tahun depan sekali gus merancakkan perkembangan ekonomi digital serta memanfaatkan penduduk di kawasan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ini kerana pelbagai pelan pembangunan berkaitan teknologi digital sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama pemain industri telekomunikasi negara.

“Kalau dulu kita sasar 191 Pusat Komuniti Desa Pintar dalam tempoh lima tahun, kini kita optimis semuanya siap akhir tahun 2020.

“Setakat ini sudah lapan daripada 191 Pusat Komuniti Desa Pintar telah dilengkapi dengan kemudahan capaian internet di kawasan luar bandar bagi membolehkan usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform digital.

“Saya percaya masalah seperti memuat naik gambar, video dan segala berkaitan produk mereka, Insya-ALLAH tidak akan menjadi masalah lagi selepas ini,” katanya selepas melawat Pusat Komuniti Desa Pintar bersama-sama rakan-rakan strategik komunikasi di Kampung Perpat Timbul, Kukup kira-kira 35 minit dari pekan Pontian hari ini.

Rina berkata, inisiatif itu antara lain menyediakan akses kepada rakyat untuk meraih peluang melalui penggunaan teknologi digital dan dapat membantu kumpulan sasar seperti usahawan dan suri rumah, k-ekonomi untuk belia dan pelajar serta komuniti luar bandar.

Program Desa Pintar ini adalah inisiatif kementerian mengurangkan jurang digital antara luar bandar dan bandar, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti luar bandar serta menjana pendapatan menerusi platform digital itu.

Menerusinya ia dapat membantu kumpulan sasar seperti usahawan dan suri rumah, k-ekonomi untuk belia dan pelajar serta komuniti luar bandar di samping membolehkan masyarakat di luar bandar menjana ekonomi melalui platform yang dibangunkan rakan strategik dan meluaskan peluang pendidikan secara dalam talian. - Bernama

Artikel Berkaitan: