Cadang cuti paterniti tujuh hari

Kula Segaran
Kula Segaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia bercadang membentangkan permohonan bagi cuti paterniti (cuti kerana isteri bersalin) tujuh hari untuk sektor swasta kepada Kabinet pada akhir tahun ini.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, selama 62 tahun lalu cuti paterniti tidak diberi perhatian dan ini merupakan langkah awal untuk perubahan lebih baik di masa depan.

“Lebih dari tiga hari, itu akan dipertimbangkan. Saya akan bentangkan perkara itu kepada Kabinet untuk tindakan yang perlu.

“Kami amat yakin bahawa ini merupakan hala tuju yang betul, ia patut dibentangkan dan dapatkan kelulusan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di pekarangan bangunan Parlimen selepas Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyerahkan petisyen itu kepada beliau di sini hari ini.

Petisyen itu bagi cuti paterniti tujuh hari untuk sektor swasta.

Beliau berkata, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam sektor swasta berhubung cadangan itu.

“Perbincangan dengan pihak berkepentingan baru sahaja selesai, kami harap mungkin pada Disember ini kami dapat bentangkan cadangan ini kepada Kabinet,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya sektor swasta perlu mematuhi cuti paterniti tujuh hari itu selepas ia dilaksanakan, Kula Segaran berkata, cuti paterniti itu adalah wajib dan bukan opsyen bagi mereka (sektor swasta).

Artikel Berkaitan:

Turut hadir untuk memberikan sokongan pada penyerahan petisyen WAO itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Petisyen WAO itu yang bermula pada Jun 2019 bertujuan menggesa cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari untuk sektor swasta dan telah memperoleh 39,340 tandatangan. - Bernama