[VIDEO] 'Tak sedap hati bila nampak baju dia berdarah...'

Gambar mangsa yang cedera turut tular di laman sosial semalam.
Gambar mangsa yang cedera turut tular di laman sosial semalam.
A
A
A

KUANTAN - [KEMASKINI] "Ketika sarapan saya dah rasa tak sedap hati dan suruh Masitah makan cepat-cepat," kata Mohammad Azizan Awang, 38, yang cedera ditikam abang teman wanitanya, Masitah Mustafa, 26, semalam.

Masitah turut cedera ditikam beberapa kali manakala ibu Masitah, Sefiah Hamid, 62, maut ditikam di bahagian leher kiri oleh lelaki sama sebelum ditolak menggunakan kerusi roda sejauh 50 meter dari rumah mereka.

Mohammad Azizan berkata, dia tidak menyangka perasaan tidak sedap hati yang dialami sejak pagi menjadi petanda insiden tragis itu berlaku.

Dia berkata, ketika kejadian dia baru sahaja menjemput Masitah yang baru habis bekerja syif malam dari sebuah pasar raya 24 jam di Bukit Sekilau.

"Selepas itu kami pergi sarapan di kedai dan merancang hantar makanan untuk mak dan abangnya itu. Ketika sarapan saya dah rasa tak sedap hati dan suruh Masitah makan cepat-cepat.

"Sebaik saja sampai di kawasan perumahan itu, Masitah nampak abangnya tolak mak naik kerusi roda.

"Kami dekati untuk tanya kenapa dan waktu itu saya sekali lagi tak sedap hati bila nampak baju dia berdarah. Tiba-tiba terus kena tikam," katanya ketika ditemui media di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Katanya, selepas ditikam, dia terjatuh dari motosikal ditunggangnya dan tidak mampu melawan kerana tertindih motosikal itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Henti sebar gambar, video kes tikam: Polis

'Aku dah bunuh mak'

Akibat tikaman itu, dia cedera di lengan kanan dan dijadualkan menjalani satu pembedahan berkaitan saraf koyak di hospital hari ini.

Mangsa cedera ditikam mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Mangsa cedera ditikam mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Mohammad Azizan berkata, sepanjang hampir lima tahun mengenali Masitah, abang Masitah seorang yang baik meskipun tidak banyak bercakap.

"Mak Masitah menghidapi masalah tulang belakang selepas dipercayai terjatuh sejak beberapa bulan lalu.

"Saya tengok dia jaga maknya yang hidap masalah tulang belakang pun baik. Malah kali terakhir kami berjumpa pada minggu lepas kami sempat makan bersama-sama. Tak ada tanda-tanda pelik pada abang mahupun arwah mak Masitah.

"Abangnya juga tak pernah bawa mak keluar lebih dari pintu pagar. Itu yang Masitah pelik apabila nampak dia tolak mak naik kerusi roda," katanya.

Katanya, dia dan Masitah masih trauma dengan kejadian tersebut memandangkan hubungannya dengan abang baik.

"Masitah juga sangat rapat dengan ibunya dan setiap kali gaji dia mesti utamakan mak dia," katanya.

Difahamkan suspek tinggal bersama ibunya dan adik bongsu mereka yang ketika kejadian keluar rumah atas urusan memperbaharui lesen motosikal.

Tiga beranak itu baru berpindah ke Taman Kampung Padang dari Bukit Sekilau sejak setahun enam bulan yang lalu.

Petugas media cuba untuk menemubual Masitah, namun dimaklumkan kakitangan HTAA bahawa dia enggan diganggu.