X

Kindly register in order to view this article
!

OKU dikecualikan duduki PSEE untuk berkhidmat dalam sektor awam

Hanipa Maidin
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan kurang upaya (OKU) kini tidak lagi perlu menduduki Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) untuk menjadi penjawat awam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau berkata, pengecualian itu dilakukan selepas Mei lalu sebagai langkah kerajaan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan itu dalam sektor perkhidmatan awam sekali gus merealisasikan hasrat melibatkan satu peratus golongan OKU dalam sektor itu.

“Selama ini kajian mendapati apabila ada peperiksaan itu, ia menyebabkan ramai OKU tidak dapat kerja sebab tidak lepas periksa, sebab itu kita buat keputusan untuk kecualikan dan selepas ini saya yakin sasaran satu peratus akan dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan menggalakkan penyertaan OKU sebagai penjawat awam.

Pada masa sama, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) juga telah mengambil langkah mengenakan syarat minimum sahaja kepada calon OKU berdasarkan syarat lantikan dalam skim perkhidmatan.

“Selain itu, ahli suruhanjaya daripada golongan OKU juga telah dilantik menjadi ahli SPA dan dalam menyampaikan panduan memasuki perkhidmatan awam kepada golongan ini, suruhanjaya ini juga sentiasa melaksanakan program khidmat bantuan termasuk membuka ruang pameran di karnival-karnival kerjaya,” katanya.

Mohamed Hanipa berkata, statistik daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan sehingga 30 Jun lalu, jumlah pengisian OKU dalam perkhidmatan awam adalah seramai 3,686 pegawai ataupun 0.29 peratus.

"Statistik pengurusan pengambilan di bawah SPA pula menunjukkan sehingga Jun lalu, seramai 44 orang atau 0.49 peratus calon OKU dilantik ke perkhidmatan awam daripada sejumlah 8,924 orang calon lantikan tetap.

"Pada tahun 2018 pula, daripada seramai 13,454 pelantikan tetap, SPA telah melantik 114 atau 0.85 peratus calon OKU ke dalam perkhidmatan awam," katanya mengulas tentang statistik semasa pengambilan satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam.

Sementara itu, diminta mengulas sama ada langkah kerajaan mengecilkan sektor perkhidmatan awam akan menjejaskan sasaran satu peratus pengambilan OKU, Mohamed Hanipa berkata, ia bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk berbuat demikian.

“Setakat ini hanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang agak ke hadapan dalam soal pengambilan OKU dalam sektor ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus