Didenda RM18,000 longgok sampah secara haram

Rahman (berbaju biru) mengaku bersalah melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran Ogos lalu.
Rahman (berbaju biru) mengaku bersalah melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran Ogos lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan sisa pepejal didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas kesalahan melonggokkan bahan sisa pepejal komersial tanpa kebenaran Februari lalu.

Hakim Muhammad Zaki Abdul Kudos membuat keputusan itu selepas Pengurus Operasi Sheng Chen Enterprise, Chia Poh Fatt yang mewakili syarikat terbabit mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Tertuduh turut berdepan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan selain lapan unit tong milik syarikat itu dilucut hak dan perlu membayar kos penyimpanan kesemua tong berjumlah RM11,680 kepada Majlis Perbandaran Nilai.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa melonggokkan sisa pepejal komersial tanpa kebenaran di atas empat lot tanah di Mukim Setul di sini jam 4.30 petang pada 4 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama.

Chia Poh Fatt mewakili syarikat Sheng Chen Enterprise didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari.
Chia Poh Fatt mewakili syarikat Sheng Chen Enterprise didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari.

Sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Swcorp), Siti Adora Rahtimin dan Mohd Iqram Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam kes berasingan, pemilik kedai perabot Rahman Gafar, 57, mengaku bersalah atas pertuduhan melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran, Ogos lalu.

Kesalahan itu dilakukan di tanah simpanan jalan milik kerajaan di Jalan Indah 3/10, Taman Indah, Tampin, jam 10.30 pagi pada 26 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Rahman merayu supaya hukuman ditangguhkan kerana kali pertama menghadiri mahkamah dan tidak berkemampuan untuk membayar denda.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 18 Disember ini untuk jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Mohd Saipul Rizal Zainol manakala tertuduh tidak diwakili peguam.