Perak ambil tindakan tangani wabak chikungunya

Ahmad Faizal Azumu. - Foto Bernama
Ahmad Faizal Azumu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengambil tindakan susulan dengan segera bagi menangani wabak chikungunya yang kini menular dalam daerah Batang Padang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu akan membabitkan semua agensi dan jabatan secara total kerana ia melibatkan keselamatan awam.

"Saya akan mendapatkan laporan lengkap berkaitan isu ini daripada Exco Kesihatan pada mesyuarat bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

"Sudah tentunya langkah-langkah wajar akan diambil kerana kita nak pastikan keselamatan rakyat diutamakan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu makluman yang tular semalam berkaitan perkembangan terkini wabak chikungunya dalam daerah Batang Padang.

Surat makluman yang tular daripada Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang kepada Pejabat Pendidikan Daerah itu memberitahu, Unit Kawalan dan Pencegahan Penyakit Bawaan Vektor telah mengisytiharkan wabak chikungunya berlaku di enam lokaliti dalam daerah Batang Padang.

Kampung Baru Air Kuning dalam mukim Chenderiang telah diletakkan sebagai kawasan hotspot sementara Pekan Bidor - wabak tidak terkawal.

Empat lagi lokaliti iaitu Taman Tapah, Taman Tapah Baru, Taman Daya dan Kampung Baru Kampung Pahang sebagai wabak terkawal.

Artikel Berkaitan:

Makluman itu juga memberitahu bahawa Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, kuarters kediaman guru di Jalan Pahang, Sekolah Menengah Sains Tapah dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kampung Pahang berisiko untuk mendapatkan sebaran penyakit.