'Rumah ini hasil bantuan Allahyarham Dr Md Farid'

PNorhaslinda Abdul Rahman 33, bersama anaknya Nurul Nadiah Humairah, 48 hari di hadapan rumah mereka di Kampung Maju Jaya di sini. - Foto Bernama
PNorhaslinda Abdul Rahman 33, bersama anaknya Nurul Nadiah Humairah, 48 hari di hadapan rumah mereka di Kampung Maju Jaya di sini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Rumah bercat putih di Kampung Maju Jaya di Pekan Nanas di sini mungkin biasa pada pandangan ramai namun bagi Hasreen Sairi, isterinya, Norhaslinda Abdul Rahman, serta lima anak mereka, rumah itu ibarat ‘syurga’.

Apa tidaknya, jika awal tahun ini keluarga itu terpaksa tinggal di bangsal berbumbungkan kanvas ketika hujan dan panas, kini kehidupan mereka berubah apabila rumah berukuran 20x30 meter persegi itu siap dibina Jun lepas bersebelahan bangsal berkenaan.

Kisah keperitan hidup keluarga Hasreen berteduh dalam bangsal selama enam bulan itu pada mulanya hanya meniti di bibir penduduk kampung dan kemudian mendapat liputan media dan reaksi ramai selepas tular di laman sosial.

Namun bagaikan mimpi, keluarga itu kini mempunyai kediaman selesa hasil keprihatinan wakil rakyat Parlimen Tanjung Piai sebelum ini, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang menziarahi mereka seterusnya mendorong pembinaan rumah tersebut.

Dr Md Farid, yang merupakan wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung, dan Sabtu ini, pengundi Parlimen Tanjung Piai termasuk Hasreen, yang merupakan anak jati Kampung Maju Jaya, akan memilih wakil rakyat baharu mereka menerusi pilihan raya kecil yang diadakan.

Hasreen, 38, berkata, rumah dianggarkan bernilai RM20,000 berkenaan dibina di atas sebahagian 1.2 hektar tanah pusaka milik keluarganya dalam tempoh kira-kira sebulan mulai Mei lepas dan mula diduduki mereka sekeluarga kira-kira dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Tanpa bantuan pelbagai pihak khususnya Allahyarham Dr Md Farid dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, sudah tentu kami sekeluarga masih lagi tinggal di bangsal,” katanya yang ditemui Bernama di rumahnya hari ini.

Dia kini bersyukur dan boleh menarik nafas lega kerana anak-anak, Nurul Nabihah Aqilah, 11, Nurul Nadhilah Athirah, 9, Muhammad Hamsyari Haidar, 5, Nurul Nadrah Batrisyia, 2, serta Nurul Nadiah Humairah, 48 hari, mempunyai tempat berlindung, tambahan pula isterinya, Norhaslinda, 33, baru sahaja melahirkan anak bongsu mereka.

Artikel Berkaitan:

Hasreen berkata, mereka sekeluarga pernah tinggal menyewa di sekitar kawasan Gelang Patah dekat Johor Bahru dan sekitar Pekan Nanas namun mengambil keputusan berpindah ke kampung halamannya itu selepas tidak mampu membayar rumah sewa sekitar RM500 sebulan.

Katanya, pada mulanya dia sekeluarga menumpang di rumah arwah ibunya sebelum nekad berpindah ke bangsal yang didirikan kira-kira 100 meter dari rumah ibunya itu, awal tahun ini, kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Menyifatkan Allahyarham Dr Md Farid sebagai seorang wakil rakyat yang baik, Hasreen yang bakal mengundi di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Adnan, Pekan Nanas berkata, Allahyarham bersungguh-sungguh mahu melihat pembinaan rumah berkenaan tercapai malah turut memindahkan mereka sekeluarga ke sebuah inap desa berdekatan selama 10 hari sementara menunggu rumah baharu siap dibina.

"Saya terkejut kerana rumah ini terus dibina selepas dua hari kedatangan arwah mengunjungi kami sekeluarga malah ketika proses pembinaannya, arwah sendiri turut datang dua atau tiga kali lagi untuk melihat perkembangannya.

“Sayangnya, arwah tidak sempat melihat rumah ini siap dan kami sekeluarga mendudukinya. Pada pertengahan September lepas, saya ada dimaklumkan bahawa arwah mahu menziarahi kami namun seminggu kemudian arwah meninggal dunia," katanya dengan terkilan, namun menganggap pemergian Allahyarham Dr Md Farid sebagai takdir Allah.

Hasreen berkata, dia kini memiliki pendapatan antara RM700 dan RM800 sebulan dengan bercucuk tanam, mengambil upah memotong rumput dan mengecat rumah selain mengusahakan kolam ternakan ikan tilapia milik ibu saudara bersama seorang adik lelakinya.

Katanya, walaupun rumah berkenaan amat selesa namun ketika ini ia hanya dilengkapi bekalan elektrik sahaja dan berharap agar bekalan air paip dapat disediakan bagi memudahkan urusan harian mereka sekeluarga.

“Buat masa ini bekalan air bersih disalur dari rumah arwah ibu yang kini diduduki adik lelaki menggunakan paip getah,” katanya yang turut berharap agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian menyalurkan benih ikan bagi mengembangkan ternakan kolamnya itu. - Bernama