Remaja yatim piatu galas tugas sara keluarga

Mohd Syahbuddin meninjau keadaan rumah Mohamad Syahadam yang tidak dilengkapi kemudahan elektrik dan air.
Mohd Syahbuddin meninjau keadaan rumah Mohamad Syahadam yang tidak dilengkapi kemudahan elektrik dan air.
A
A
A

GUA MUSANG - Walaupun baru berusia 19 tahun, seorang remaja lelaki reda menggalas tanggungjawab besar selepas ibu bapanya meninggal dunia tahun ini.

Mohamad Syahadam Abdul Talib Mohd Kasim dari Kampung Mentara Lama di sini, gigih memerah keringat sebagai pengait buah kelapa sawit dan mengambil upah menoreh getah demi kelangsungan hidup.

Menurutnya, dengan upah pekerjaan itulah dia menyara dua adik perempuan berusia 14 dan 9 tahun yang masih bersekolah bagi memastikan keperluan sekolah mereka mencukupi.

"Saya akan jaga adik-adik perempuan saya walaupun kami yatim piatu. Itu tanggungjawab dan amanah yang perlu saya jaga apabila ibu bapa saya tiada.

"Tapi, apabila tiba musim tengkujuh, pendapatan saya sedikit terganggu sebab cuaca hujan tak mengizinkan saya menoreh dan mengait kelapa sawit," katanya.

Katanya, dengan kehidupan serba sederhana, dia dan adik-adiknya mendiami rumah sementara di atas tanah rizab kereta api tanpa bekalan air dan elektrik.

"Sampai sekarang kami dapatkan bekalan air di alur sungai belakang rumah untuk kegunaan harian termasuk mandi dan membasuh.

"Duit boleh dicari selagi saya ada tenaga dan selagi ALLAH SWT bagi, cuma apa yang saya dan adik-adik perlukan ialah rumah dengan kemudahan air dan elektrik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Syahadam menjadikan alur sungai di belakang rumah untuk mandi dan membasuh.
Mohamad Syahadam menjadikan alur sungai di belakang rumah untuk mandi dan membasuh.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kesempitan hidup remaja tersebut bersama dua adiknya akan diketengahkan kepada pihak berkaitan.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) turut kagum dengan semangat remaja berkenaan kerana meskipun usianya masih muda, Mohamad Syahadam berusaha memastikan adik-adiknya mendapat pendidikan sebaiknya.

"Mereka perlu dibantu dan saya sudah merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Untuk keperluan rumah pula, kita akan usaha dengan pihak berkuasa," katanya.

Sesiapa berhasrat meringankan beban tiga beradik berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun, 1012 1410 0006 1514 milik Mohamad Syahadam.