X

Kindly register in order to view this article
!

Acara 'potong reben' tak akan selesai isu basikal lajak

Antara laporan Sinar Harian berkaitan kes basikal lajak yang berlaku mutakhir ini.
A
A

MELAKA - Sikap menuding jari pelbagai pihak seolah-olah menghukum remaja terlibat dalam aktiviti basikal lajak perlu dihentikan kerana ia bukan jalan penyelesaian bagi merawat masalah sosial ini.

Seorang penganalisis jenayah dan pemimpin masyarakat ketika ditemu bual Bernama menyokong pendapat dilontarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Khamis lepas agar remaja terbabit dibimbing dan bukannya dihukum agar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim berkata, orang ramai tidak boleh hanya pandai menyalahkan orang lain tetapi tidak menawarkan apa-apa alternatif yang boleh dijadikan sebagai jalan keluar bagi membantu remaja terbabit.

“Kira-kira empat bulan lepas, saya dan beberapa orang rakan dari MCPF dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) telah merangka satu modul bagi membantu remaja ini.

"Kita akan menganjurkan program Basikal Lajak 1.0 bagi mendekati dan membimbing remaja yang terlibat dengan aktiviti basikal lajak pada pertengahan bulan depan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, pengisian program tiga hari yang akan disertai oleh kira-kira 50 orang remaja itu adalah perkongsian tentang ilmu aerodinamik dan kejuruteraan perlumbaan basikal, membina basikal sendiri dan juga kesedaran tentang risiko menyertai perlumbaan basikal lajak.

Kamal Affandi berkata, apa yang cuba dilakukan adalah bagi mengubah tingkah laku atau ‘behavior modification’ remaja terbabit agar meninggalkan aktiviti tidak berfaedah itu kepada perkara yang lebih baik serta menjamin masa depan mereka seperti menjadi pelumba basikal profesional ataupun menjadi jurutera perlumbaan dan sebagainya.

“Acara ‘memotong reben’ tidak akan menyelesaikan masalah basikal lajak. Kita perlu bercakap dengan bahasa yang boleh difahami dan diterima oleh mereka (remaja basikal lajak) sebelum menanam kesedaran dalam diri remaja tersebut,” katanya.

Turut berkongsi pendapat, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Arrifin Mohd Ghani yang turut bersetuju dengan kenyataan Syed Saddiq bahawa remaja terlibat dalam aktiviti basikal lajak perlu dibimbing agar mereka dapat menjadi aset kepada negara satu hari nanti.

“Berdasarkan kemudahan yang sedia ada, kita mungkin boleh bentuk remaja yang berpotensi menjadi atlet negara kerana mereka mempunyai ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pelumba basikal iaitu keberanian dan kepantasan,” katanya.

Ariffin berkata, daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan merbahaya itu, remaja yang terlibat dalam aktiviti basikal lajak dinasihatkan agar mengikuti pertandingan berbasikal seperti pertandingan sukan berbasikal yang dianjurkan oleh pihak MSN, kerajaan negeri mahupun persatuan sukan bagi mengasah bakat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam penjaga ditahan biar anak main basikal lajak!

Undang-undang ketat diperlukan kekang aktiviti basikal lajak

Sementara itu, Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee pula berkata, kerajaan negeri sentiasa peka dengan fenomena basikal lajak yang berlaku di negara ini dan sedang berusaha membincangkan beberapa kaedah yang boleh diusahakan bagi menyelamatkan belia Melaka daripada terjebak dengan masalah sosial itu.

“Saya harap remaja bijak dalam memilih aktiviti sukan iaitu hanya terlibat dalam sukan yang berhemah dan bertanggungjawab serta mengelakkan diri terlibat dengan sukan yang melibatkan isu keselamatan seperti basikal lajak dan sebagainya,” katanya.

Katanya, remaja terbabit juga perlu mengubah anggapan bahawa basikal lajak bukanlah satu aktiviti sukan kerana ianya bukan hanya tidak mendatangkan manfaat tetapi turut mengundang bahaya kepada orang lain. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!