Kerajaan perlu tubuh RCI siasat kes pemalsuan MyKad

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes pemalsuan kad pengenalan yang berlaku dalam negara.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan kerana ia merupakan isu besar dan melibatkan kepentingan negara.

“Saya bersetuju kalau kerajaan wujudkan RCI untuk siasat secara terperinci kerana perkara ini besar dan melibatkan kepentingan negara.

“Isu ini perlu ditangani dengan baik, kita perlu menjaga kepentingan rakyat dan negara maka siasatan mendalam perlu dibuat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Hari ini Sinar Harian melaporkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 1,047 tangkapan melibatkan orang awam dibuat dan didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, tangkapan itu hasil daripada 2,100 operasi penguatkuasaan yang dijalankan jabatan berkenaan.

Menurutnya, operasi itu dijalankan terhadap sindiket penipuan dan pemilikan dokumen pengenalan diri palsu atau milik orang lain dari tahun 2013 hingga 30 September 2019.

Katanya, perbuatan penjualan atau pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu itu dilakukan atas kapasiti individu berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah melalui cara yang salah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kes MyKad palsu: 1,047 individu didakwa