Bekas pengarah, CEO bebas tuduhan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan presiden Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS) dan dua lagi atas pertuduhan bersubahat menerbit dan menawarkan 6,951,921 unit saham syarikat tanpa prospektus yang didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

Hakim Hasbullah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi Datuk Abdul Malek Yusof, 43, Raja Samsul Bahri Raja Muhammad, 48, dan Noor Aida Abdullah, 43.

Hasbullah berkata, selepas menilai keterangan secara maksimum, mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk menyabitkan kesemua tertuduh atas pertuduhan masing-masing.

“Berdasarkan kepada penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan, saya mendapati bahawa pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan dan pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah,” katanya.

Terdahulu, selepas mendengar keputusan itu, ketiga-tiga tertuduh yang berada dalam kandang tertuduh dan keluarga mereka di galeri awam dilihat menitiskan air mata sambil menyebut ‘Alhamdulilah’ berulang kali.

Abdul Malek yang merupakan presiden SAS dan juga bekas pengarah Astana Resources Berhad (dahulunya dikenali sebagai JPG Holdings Berhad) didakwa telah bersubahat dengan Astana Resources Berhad menerbitkan 4,887,650 unit saham syarikat itu tanpa suatu prospektus yang didaftarkan oleh SSM.

Raja Samsul Bahri, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astana Resources Berhad, didakwa telah bersubahat dengan Astana Resources Berhad menawarkan 6,951,921 unit saham syarikat tersebut tanpa suatu prospektus yang didaftarkan oleh SSM.

Noor Aida, bekas pengarah syarikat Astana Resources Berhad, pula dituduh telah bersubahat dengan syarikat sama menerbitkan 6,951,921 unit saham syarikat tersebut tanpa suatu prospektus yang didaftarkan oleh SSM.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Astana Resources Berhad, di Tingkat Satu, Jalan USJ 21/3, Subang Jaya, Selangor, antara 30 April 2010 dan 19 Nov 2012 mengikut Seksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 232(1) dan Seksyen 232(7) akta yang sama yang membawa hukuman denda RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Zul'Aida Zulkifli manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Datuk Chong Loong Men.

Perbicaraan bermula 4 Januari 2017 dan berakhir 30 Ogos 2019 itu mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan. - Bernama