[VIDEO] Roti canai 50 sen untuk akhirat

Harga 50 sen bagi sekeping roti canai yang diperkenalkan sejak tiga dekad lalu itu adalah sebahagian daripada pelaburan akhirat untuk Md Kamil.
A
A

PASIR PUTEH - Peningkatan kos bahan mentah tidak menghalang seorang bekas tentera di Kampung Padang Pak Amat, Jalan Jeram Pasu di sini menjual roti canai pada harga 50 sen sebiji sejak tiga dekad lalu.

Md Kamil Abdullah, 61, juga menganggap harga serendah adalah sebahagian ‘pelaburannya’ di akhirat selain mahu membantu penduduk kampung yang hanya menoreh getah menikmati keenakan roti canai.

Setiap hari Md Kamil mampu menjual 800 hingga 1,000 keping roti canai dan gerainya dibuka seawal jam 3 petang.
Setiap hari Md Kamil mampu menjual 800 hingga 1,000 keping roti canai dan gerainya dibuka seawal jam 3 petang.

Md Kamil berkata, dia tidak pernah menyesal menjual roti canai pada harga murah sejak tahun 1988 walaupun ada peniaga lain yang kurang senang.

“Saya sudah memberitahu mereka itu adalah sebahagian sedekah kepada masyarakat sekitar,” katanya yang berniaga di Kampung Padang Pak Amat, Jalan Jeram Pasu dekat sini.

Menurutnya, rezekinya tidak pernah putus malah melimpah ruah apabila orang ramai terus membanjiri gerainya dan setiap hari dia mampu menjual 800 hingga 1,000 keping roti canai apabila dibuka pada jam 3 petang.

Roti canai 50 sen bukan sahaja rangup malah sedap jika dicicah dengan kuah dal.
Roti canai 50 sen bukan sahaja rangup malah sedap jika dicicah dengan kuah dal.

Md Kamil berkata, gerainya dibuka setiap hari kecuali Selasa dan dia dibantu isteri Maizan Shaari, 52, serta empat anaknya.

Katanya, paling menggembirakan kesemua lapan anaknya yang berusia antara 30 hingga enam tahun mampu menebar roti canai.

“Selain roti kosong, saya juga menjual roti canai telur dengan harga RM1 dan RM2 untuk martabak. Gerai saya ditutup jam 10 malam,” katanya.

Md Kamil juga berbangga apabila anak sulungnya mengikut jejak dengan menjual roti canai pada harga sama di Kampung Aur Gading, Kuala Lipis Pahang.