'Saya lagi terkejut Najib terkejut'

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) ketika sesi sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Perdana hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) ketika sesi sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Perdana hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] "Saya lagi terkejut (apabila) Najib terkejut," kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam reaksinya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintah Datuk Seri Najib Razak membela diri terhadap tujuh pertuduhan penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut Dr Mahathir, seluruh dunia mengetahui pembabitan Najib dalam skandal tersebut.

"Perbicaraan ambil masa berbulan-bulan, itulah cara kita mentadbir kerajaan," katanya.

Menurutnya, pentadbiran Pakatan Harapan berbeza dengan Barisan Nasional.

"Bukan seperti mereka yang menahan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

"Itulah cara mereka, menahan tanpa bertanya tetapi prosiding Najib berjalan lancar, diberi ikat jamin malah berpeluang pergi berkempen," katanya.

Beliau berkata, kebebasan yang dialami Najib kerana kerajaan berlembut dan mengikut rule of law.

"Seperti hari itu, Najib sakit mata tetapi masih boleh pergi kempen tetapi pergi mahkamah, tidak boleh pula," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: SRC: Najib diarah bela diri

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Dr Shafee Abdullah menyatakan anak guamnya terkejut terhadap keputusan mahkamah.

Menyentuh mengenai dakwaan wujudnya campur tangan beliau dalam keputusan mahkamah itu, Dr Mahathir mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti untuk tampil mengemukakannya.

"Buktikan (campur tangan), saya tidak pernah campur tangan," katanya.

Memberi contoh UMNO yang dipimpinnya diharamkan pada 1988, Dr Mahathir berkata, beliau mengikut segala prosedur dalam menangani isu tersebut.

"Pada masa mahkamah mengharamkan (UMNO), saya lalui dengan cara betul," katanya.

Petang tadi, anggota Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam mendakwa wujud campur tangan Mahathir membabitkan kes dihadapi bekas perdana menteri itu.