Enam sekolah di Tanjung Piai bakal ada dewan terbuka: Maszlee

Menteri Pendidikan, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, (empat, kanan) dan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini (tiga, kanan) bergambar dengan murid-murid sekolah selepas melakukan simbolik Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Batu 24, Pekan Nanas hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pendidikan, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, (empat, kanan) dan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini (tiga, kanan) bergambar dengan murid-murid sekolah selepas melakukan simbolik Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Batu 24, Pekan Nanas hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Enam sekolah dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai bakal mempunyai dewan terbuka, masing-masing menjelang April tahun depan.

Ini selepas kerajaan bersetuju membina dewan terbabit dengan peruntukan berjumlah RM3 juta bermula Disember ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, enam sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, Sekolah Kebangsaan (SK) Andek Mori Serkat, SK Batu 24 Pekan Nanas, SK Jeram Batu, SK Pengkalan Raja dan SK Parit Haji Adnan.

Menurutnya, inisiatif pembinaan itu merupakan usaha dilakukan bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Allahyarham Datuk Dr Farid Md Rafik bagi membantu warga sekolah dan komuniti setempat.

“Semenjak beliau menjadi Ahli Parlimen, kita kerap berjumpa di Parlimen dan beliau minta banyak sebenarnya tetapi kita cuba untuk laksanakan sikit-sikit dan antara janji saya ialah, saya kata sebelum hujung tahun (pembinaan dewan dilaksanakan) dan kita dapat buat di hujung tahun.

“Kita berdoa supaya ini menjadi amal jariah beliau,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah untuk pembinaan dewan itu di SK Batu 24 Pekan Nanas hari ini.

Beliau berharap, pembinaan dewan tersebut memberi keselesaan kepada pihak sekolah dan masyarakat untuk menjalankan pelbagai aktiviti seiring dengan hasrat kementerian yang mahu menjadikan sekolah untuk komuniti.

Sementara itu, mengulas isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Dr Ismail di Simpang Renggam yang sudah siap dibina tetapi masih belum dapat beroperasi, Maszlee berkata sekolah itu akan dibuka pada Februari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

“Bulan Februari 2020 (dibuka). Kontraktor tu (yang mengendalikan projek pembinaan) bermasalah tetapi kita telah berjaya selesaikan,” katanya.

SJKT Tun Dr Ismail merupakan antara tiga sekolah Tamil di Johor yang mengalami kelewatan untuk dibuka berikutan wujud pelbagai isu antaranya belum mempunyai Sijil Perakuan Siap (CCC) daripada jabatan dan agensi berkaitan.

Dua lagi sekolah ialah SJKT Bandar Seri Alam di Johor Bahru dan SJKT Ladang Niyor Kluang. - Bernama