Komik kontroversi: Polis rakam keterangan pakar sejarah esok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka merakam percakapan pakar sejarah dari sebuah universiti tempatan bagi membantu siasatan kes komik propaganda bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan - Meraih Manfaat Bersama’, esok.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan merakam keterangan daripada pakar sejarah terbabit.

Bagaimanapun, Mior Faridalathrash tidak mendedahkan latar belakang pakar sejarah yang akan dirakam percakapan itu.

Difahamkan, perincian lanjut dan berapa ramai yang ditemu bual akan dimaklumkan kemudian selepas selesai mendapatkan pandangan daripada pakar berkaitan.

“Esok, pasukan penyiasatan akan menemu bual pakar Fakulti Sejarah dari sebuah universiti tempatan. Kita akan terus rakam percakapan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 28 Oktober lalu, PDRM dilaporkan akan mengatur sesi temu bual bersama pakar sejarah dari universiti tempatan bagi membantu siasatan kes komik propaganda bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan - Meraih Manfaat Bersama’.

Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, temu bual itu membolehkan pihaknya mendapatkan pandangan pakar berhubung fakta yang terkandung dalam komik itu bagi melengkapkan kertas siasatan.

Pada 23 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan pengharaman ke atas komik itu kerana mengandungi propaganda negatif dan menggugat ketenteraman.

Artikel Berkaitan:

Pada hari sama, tiga individu termasuk bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung penerbitan dan pengedaran komik itu.