Tak sempat jual motosikal curi

 Antara komponen motosikal yang berjaya ditemui daripada kedua-dua suspek.
Antara komponen motosikal yang berjaya ditemui daripada kedua-dua suspek.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki ditahan polis ketika sedang meleraikan motosikal yang baru dicuri dalam kejadian di Kampung Permatang Rawa di sini petang kelmarin.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 4 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun itu dikatakan sedang leka membuka komponen motosikal jenis Honda EX-5 tanpa menyedari kehadiran anggota polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dibuat hasil risikan yang dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga yang kehilangan motosikalnya pada Rabu lalu.

Menurutnya, mangsa yang meletakkan motosikal itu di hadapan kedai di kawasan Sama Gagah di sini menyedari kehilangan kenderaannya itu kira-kira jam 5.30 pagi.

"Selepas menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya ditangkap anggota serbuan.

"Pemeriksaan di lokasi berkenaan menemui pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan termasuk dua buah rangka motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai dicuri," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan yang dilakukan terhadap suspek yang berusia 21 tahun itu mengaku terlibat dengan jenayah motosikal manakala rakannya mengaku hanya membantu meleraikan motosikal yang dicuri sahaja.

Katanya,kedua-dua suspek dan komponen motosikal yang dirampas dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua suspek kini direman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.