Sanggup memandu beratus kilometer layan minat suami OKU

Norhazalina setia menyokong minat suaminya walaupun terpaksa memandu jauh.
Norhazalina setia menyokong minat suaminya walaupun terpaksa memandu jauh.
A
A
A

PENDANG - Seorang wanita sanggup memandu beratus kilometer setiap tahun bagi menyokong hobi suaminya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) setiap kali mengikuti konvoi hari keluarga anjuran kelab Honda SV4 Jerung Malaysia.

Norhazalina Khairulzaman, 23, yang berasal dari Teluk Intan, Perak berkata, itu adalah rutinnya setiap tahun sejak bergelar isteri kepada Mohd Rashid Wazir, 34, tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak kekok melayan minat suaminya memandangkan perkenalan mereka juga bermula dalam kelab berkenaan pada tahun 2016 yang lalu.

"Saya sendiri mempunyai kereta yang sama sebelum ini jadi tidak susah untuk terima minat suami kerana kami meminati benda yang sama.

"Bukan sahaja konvoi hari keluarga, malah apa-apa sahaja program permotoran kami akan pergi bersama dan saya yang akan memandu," katanya ketika ditemui pada sambutan hari keluarga kali ke-11 Kelab Honda SV4 Jerung Malaysia (HSV4JM) di Pendang Lake Resort di sini.

Sementara itu, suaminya, Mohd Rashid Wazir, 34, berkata, dia bersyukur bertemu jodoh dengan wanita yang mempunyai hobi yang sama dengannya.

"Setiap tahun kami akan berkonvoi bersama rakan-rakan yang lain dan Insya-ALLAH saya dan isteri akan hadir ke sambutan hari keluarga di Terengganu pada tahun hadapan," katanya.

Mohd Rashid berkata, dia mula menyertai kelab berkenaan sejak 2009 dan aktif mengikuti setiap program anjuran kelab kereta terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Dahulu sebelum berkahwin, ada seorang kawan yang akan memandu kereta saya setiap kali kami berkonvoi. Kelab ini mengajar saya erti persahabatan sebenar kerana kami berkawan bukan kerana kereta semata-mata.

"Ia seperti sebuah keluarga besar yang saling memberi sokongan antara satu sama lain malah mereka juga melayan saya sama rata seperti ahli yang lain," katanya yang turut menerima anugerah Best Supporter Family Day HSV4JM.

Mohd Rashid (tengah) diapit oleh rakan-rakan dari kelab HSV4JM ketika sambutan hari keluarga kelab berkenaan di Pendang Lake Resort baru-baru ini.
Mohd Rashid (tengah) diapit oleh rakan-rakan dari kelab HSV4JM ketika sambutan hari keluarga kelab berkenaan di Pendang Lake Resort baru-baru ini.