'Jual dadih 25 bekas, untung RM8 je'

Paparan Twitter Nurul Nazirah.
Paparan Twitter Nurul Nazirah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang mahasiswa terkilan apabila perniagaan secara kecil-kecilan yang diusahakan tidak mendapat keuntungan yang sepatutnya kerana sikap tidak bertanggungjawab pelanggan.

Lebih menyedihkan, sebanyak 25 bekas dadih yang diletakkan di rak khas kesatuan pelajar di institusi pengajian tinggi tempat dia belajar habis tetapi keuntungan yang diperoleh hanya RM8 sahaja.

Nurul Nazirah binti Abdul Aziz, 22, ketika dihubungi berkata, dia baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang perniagaan untuk mencari duit poket.

"Saya mula berniaga dadih pada semester lalu, cuma semester ini saya menjual dadih dengan meletakkannya di rak fakulti. Harga pun hanya RM1 sahaja.

Dadih yang dijual dengan harga RM1.
Dadih yang dijual dengan harga RM1.

"Saya juga berniaga di rumah sewa dan jual kepada anak-anak jiran," katanya.

Katanya, perniagaan itu memberi manfaat besar kerana keuntungannya turut disimpan selain boleh digunakan untuk perbelanjaan pengajian.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira kerana mendapat kelulusan pihak kesatuan pelajar untuk meletakkan produk di rak yang disediakan.

"Ia kali pertama saya berniaga di fakulti dan pastinya mengharapkan keuntungan lumayan. Apabila saya dan rakan memeriksa tabung wang saya terkilan dan sedih kerana dadih habis tapi duit hanya RM8 sahaja. Ramai yang ambil tetapi tidak dibayar," katanya.

Nurul Nazirah yang berhasrat menjadi peniaga sentiasa berfikiran positif dan bangkit semula untuk meneruskan perniagaannya.

Nurul Nazirah juga berkata, tindakan meluahkan perasaan sedih di Twitter bukan untuk meraih simpati sesiapa namun sekadar perkongsian dan pengajaran buat semua.

Ada juga pihak yang memberi wang rosak.
Ada juga pihak yang memberi wang rosak.

"Pada mulanya saya Tweet hanya untuk meluahkan rasa terkilan tetapi ramai yang memberi maklum balas melalui kata-kata positif, sokongan moral dan ada juga yang mesej nak bayar ganti rugi itu," katanya yang turut berterima kasih kepada warganet.

Menurutnya, wang sumbangan warganet akan digunakan untuk mengedarkan dadih secara percuma kepada mahasiswa lain.

"Saya tidak reti nak terima kosong, jadi saya akan membuat dadih secara percuma dengan duit yang diberikan itu.

"Ada juga warganet mahu membeli 30 dadih tetapi saya akan beri kepada mereka," katanya.