RM35,850 bantuan pelajar terjejas insiden sesak nafas di Pasir Gudang

Liow Cai Tung
Liow Cai Tung
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM35,850 sebagai bantuan kepada pelajar-pelajar di Pasir Gudang untuk menggantikan pakaian sekolah yang telah dilupuskan bagi tujuan keselamatan susulan insiden sesak nafas dan muntah-muntah pada Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, bantuan berupa wang tunai ringgit sebanyak RM150 seorang itu diberikan kepada 239 pelajar daripada 21 sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, urusan pemberian bantuan berkenaan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Katanya, ketika insiden berlaku pada Jun lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah memohon kepada JKM agar pakaian yang dibekalkan digunakan untuk tujuan dekontaminasi, proses menjadikan individu atau persekitaran bebas daripada bahan berbahaya manakala baju yang dipakai mangsa (pelajar) ketika itu dilupuskan untuk tujuan keselamatan.

“Susulan daripada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor bersetuju supaya JKM menguruskan bantuan menggantikan pakaian sekolah kepada 239 orang pelajar yang terlibat sahaja dengan kadar bantuan sebanyak RM150.

"Kita berharap dengan bantuan kewangan ini ianya dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga pelajar yang terlibat,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Bantuan Wang Gantian Pakaian Untuk Tujuan Dekontaminasi Insiden Pencemaran Udara Pasir Gudang (Ops Mawar) kepada pelajar-pelajar yang terlibat di sini hari ini.

Cai Tung berkata, JKM melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru turut terlibat sama dalam usaha membantu mangsa-mangsa bencana pencemaran udara di Pasir Gudang.

Beliau berkata, antara bantuan yang disalurkan antaranya ialah membekalkan pakaian seperti kain batik, kain pelikat, seluar sukan, baju dewasa, baju kanak-kanak, tuala dan lain-lain yang bersesuaian. - Bernama

Artikel Berkaitan: