Keputusan flip-flop bukti PH bukan berprestasi tinggi: Khaled

Mohamed Khaled menyampaikan ceramah pada program sarapan pagi bersama nelayan Serkat di sini hari ini.
Mohamed Khaled menyampaikan ceramah pada program sarapan pagi bersama nelayan Serkat di sini hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Keputusan kerajaan Johor membuka semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup di sini secara tergesa-gesa kelmarin gagal mencerminkan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah kerajaan berprestasi tinggi.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan pembukaan semula terminal feri itu setelah memutuskan penangguhan pembukaannya beberapa hari sebelum itu adalah satu langkah flip flop.

Menurutnya, sejak kerajaan negeri baharu di bawah pentadbiran PH, ekonomi negeri menjadi semakin tidak bagus, tidak pandai mengurus pentadbiran dan akhirnya menjejaskan segala perancangan awal dikemukakannya sewaktu mentadbir kerajaan negeri terdahulu.

"Situasi ini tak cerminkan sebuah kerajaan berprestasi tinggi sejak Johor bawah kepimpinan baharu.

"Bila berlaku keputusan flip flop, sekejap buka sekejap tangguh lepas itu buka semula, rakyat boleh nilai kerajaan sebegini berprestasi tinggi atau sebaliknya," katanya sewaktu berceramah dalam program sarapan pagi bersama nelayan Serkat di sini pagi ini.

Ditanya kebimbangan penduduk Parlimen Tanjung Piai sama ada pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup akan kembali ditutup sekiranya calon PH kalah, Mohamed Khalid menegaskan itu merupakan perkara biasa bagi mereka.

Terdahulu, operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dihentikan sementara pada 1 September lepas dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pada 1 November lalu, terminal berkenaan dijadualkan dibuka 6 November namun terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dibuka semula kelmarin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penyertaan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffur, 45, mewakili Gabungan Pemandu Teksi Se-Malaysia (GPSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah manifestasi bantahan golongan pemandu teksi terhadap kerajaan PH.

Seorang pemandu teksi, Tan Ah Tee, 70, berkata, kehidupan lebih 70 pemandu teksi di sini semakin terjejas susulan tindakan penutupan sementara Terminal Feri Antarabangsa Kukup sebelum ini.