436 individu kes dadah ditahan di Sarawak sepanjang Oktober

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak menahan 436 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan kegiatan dadah sepanjang Oktober di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu seramai 40 orang ditangkap di bawah kategori bekalan, 130 orang kerana memiliki manakala 266 orang pula urin positif.

“Seramai 12 orang pengedar ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang Oktober juga terdapat dua operasi khas narkotik dijalankan di seluruh Malaysia iaitu Op Waran Tangkap dan Op Damn Tokan.

“Bagi Op Waran Tangkap yang dijalankan oleh JSJN Sarawak pada 14 hingga 18 Oktober 2019 seramai 37 orang berjaya dikesan dengan pelbagai kesalahan narkotik.

“Bagi Op Damn Tokan yang dijalankan pada 29 Oktober seramai tujuh orang ditangkap di bawah kategori bekalan, 14 orang kerana memiliki, dua orang di bawah kategori urin, manakala 12 orang pengedar ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.

Hasnir berkata, kejayaan ini terhasil daripada daya usaha dan komitmen yang tinggi oleh JSJN Sarawak serta jalinan kerjasama yang diberikan oleh penduduk Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan: