Kerajaan negeri diminta tangguh dahulu bantuan nelayan Tanjung Piai

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa kerajaan Johor menangguhkan terlebih dahulu bantuan nelayan bernilai RM1,000 kepada nelayan di Tanjung Piai.

Beliau turut menyarankan adalah lebih baik sekiranya proses pemberian bantuan itu dibuat sehingga selesai tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memilih kerusi Parlimen di kawasan berkenaan.

“Saya minta Menteri Besar Johor (Datuk Dr Sahrudin Jamal) tangguh dulu bantuan RM1,000 kepada nelayan di Tanjung Piai sehingga selesai PRK Tanjung Piai. Ini kerana kita (PH) perlu hormati undang-undang pilihan raya.

“Kita (PH) dulu berjuang dengan anjurkan siri demonstrasi jalan raya Bersih 1, Bersih 2 Bersih 3, Bersih 4 dan Bersih 5 untuk tuntut pilihan raya yang adil, tetapi kini pula bila jadi kerajaan kita ulang perkara seperti ini.

“Ingin saya nyatakan di sini adalah satu bentuk rasuah politik dan salah di bawah undang-undang kecil Akta Pilihan Raya jika kerajaan sama ada Menteri Besar, atau Menteri Pusat atau Exco memberi wang ringgit atau kebendaan masa berkempen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, selain bantuan nelayan, pihaknya juga mahu memberi saranan kepada kerajaan untuk menghentikan serta merta budaya ‘bantuan segera’ yang dilihat banyak berlaku sepanjang PRK di Tanjung Piai ini.

"Sebagai ahli Parlimen PH saya memohon kerajaan tidak mengulangi segala perbuatan yang dibuat menteri-menteri BN satu ketika dahulu.

“Bantuan kepada nelayan di daerah lain di Johor yang tidak ada kaitan dengan PRK Tanjung Piai, Menteri Besar Johor boleh terus salurkan bantuan RM1,000 itu.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi bantuan bagi nelayan- nelayan Tanjung Piai elok sekiranya ia diberikan selepas selesai PRK, tidak kisah sama ada PH menang atau kalah, bantuan tetap diberi,” katanya.

Hassan berkata, sekiranya kerajaan optimis untuk terus berjuang bagu menangani rasuah di negara ini, ia seharusnya bermula dengan pembasmian rasuah politik terlebih dahulu.