Mangsa banjir di Gua Musang digalak terus berada di PPS

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 41 mangsa banjir kilat di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang perlu terus berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Etnobotani sehingga Monsun Timur Laut berakhir bagi mengelak mereka daripada terus menjadi mangsa banjir kilat.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Mohamed Zahari Razali berkata, ia bagi mengelakkan mereka terpaksa berpindah beberapa kali setiap kali berlaku hujan.

"Perbincangan mengenai perpindahan mangsa ke penempatan kekal telah dijalankan namun dalam jangka masa terdekat ini sudah tidak sempat untuk meletakkan mereka di penempatan kekal itu jadi mereka digalakkan terus tinggal di PPS Etnobotani.

"Mengenai hal keselamatan, kelengkapan, makanan dan minuman di PPS, kita akan melakukan perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan malah kita akan menjadikan masalah penduduk Kampung Tanah Puteh sebagai kes khas sehingga tengkujuh berakhir," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai 41 mangsa banjir kilat di Kampung Tanah Puteh yang terpaksa dipindahkan ke PPS Etnobotani berikutan banjir kilat. Kesemua mangsa bagaimanapun telah dibenarkan pulang ke rumah semalam.

Mohamed Zahari berkata, antara punca banjir kilat berlaku di Kampung Tanah Puteh berikutan ia berada di kawasan rendah dan mudah digenangi air selain berdekatan tapak pembangunan dan mempunyai sistem perparitan yang sempit.

Dalam perkembangan sama Mohamed Zahari berkata, Nadma sudah melakukan persiapan rapi sebagai persediaan menghadapi tengkujuh di pantai timur serta Johor Timur yang dijangka berlaku pada pertengahan November hingga akhir Disember ini.

Beliau turut meminta agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai untuk turut bersama-sama menggembleng tenaga bagi menghadapi bencana tersebut jika ia berlaku.- Bernama

Artikel Berkaitan: