Ganjaran tidak masuk akal

Seorang presiden sebuah syarikat kosmetik di Jinan, wilayah Shandong membasuh kaki pekerja yang berjaya mencapai sasaran jualan.
A
A

JINAN - Insiden pekerja dimalukan oleh majikan di khalayak ramai akibat gagal mencapai sasaran jualan kerap berlaku di China.

Ada yang dipaksa merangkak di tepi jalan, dipaksa makan peria mentah malah ada yang dirotan di hadapan rakan sekerja lain.

Lebih ekstrem, ada pekerja dipaksa minum air dari mangkuk tandas dan dihukum makan lipas.

Namun, lain pula kisahnya yang berlaku ke atas beberapa pekerja di sebuah syarikat kosmetik di wilayah Shandong yang berjaya mencatat jualan tinggi.

Selepas berjaya mencapai sasaran ditetapkan, mereka diberi 'ganjaran' apabila presiden syarikat sanggup membasuh kaki mereka di hadapan rakan sekerja lain kononnya sebagai tanda penghargaan.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial, presiden syarikat tersebut dilihat melutut dan mencuci kaki pekerja terbabit seperti seorang kuli.

Namun, rata-rata netizen mendapati bentuk penghargaan tersebut sebagai tidak masuk akal.

"Sepatutnya mereka diberi duit bonus sahaja," kata seorang netizen.

"Basuh kaki je? Tak berbaloi langsung," komen lain di laman Weibo. - Agensi