Selangor.Travel laman sesawang baharu Tourism Selangor

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tourism Selangor melancarkan laman sesawang terbarunya Selangor.Travel menggantikan laman sesawang terdahulu www.tourismselangor.my.

Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Muhammad Zaim Muhammad Nashir berkata, usaha itu bagi mengetengahkan Negeri Selangor sebagai destinasi percutian pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, laman sesawang baharu itu dilengkapi dengan antaramuka menarik berkonsepkan interaktif yang lebih lancar dan efisien.

“Selangor merupakan negeri pertama di negara ini yang menggunakan pautan dot.Travel bagi laman sesawang rasmi pelancongan selepas Tourism Malaysia dengan pautan, Malaysia.Travel.

“Antara ciri tambahan membezakan laman sesawang Selangor.Travel dengan laman terdahulu termasuk tempoh masa muat-turun, halaman lebih pantas serta informasi serba lengkap mengenai tempat pelancongan menarik di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, laman web itu memaparkan pembahagian sembilan daerah termasuk Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.

Menurutnya, dengan hanya satu klik pada daerah pilihan, pengguna dapat mengakses informasi lokasi pelancongan menarik yang lengkap dengan maklumat menerusi ‘Google Maps’ dan nombor untuk dihubungi.

“Pihak Tourism Selangor memfokuskan kaedah pemasaran melalui digital dan online untuk menambah pengalaman pelancong yang ingin mendapatkan informasi pelancongan di laman sesawang dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Pengguna Selangor.Travel dapat mengakses tempat pelancongan menarik di Selangor berdasarkan segmentasi pelancongan golf, eko dan alam sekitar, kesenian dan kebudayaan, kesihatan, perusahaan, pengalaman membeli-belah, taman tema, sukan dan pengembaraan.

“Bagi penggemar acara pelancongan dan festival, laman sesawang baharu ini dilengkapi informasi terkini acara yang sedang dan akan berlangsung di Selangor bagi memudahkan mereka merangka perjalanan dan sepanjang berada di negeri ini,” katanya.

Muhammad Zaim berkata, jika pelancong masih ragu-ragu mengenai rancangan percutian, mereka boleh membaca artikel dan hebahan di muat naik ke laman sesawang Selangor.Travel.

Katanya, kandungan artikel tersebut dapat memberi gambaran mengenai lokasi paling menarik untuk dilawati.

“Selangor.Travel akan ‘membawa’ pelancong secara maya bagi misi mengenal pasti seleksi tempat pelancongan menarik yang ada di Selangor.

“Pengenalan logo baharu Tourism Selangor, industri pelancongan negeri dijangka akan menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan – suatu bentuk persediaan bagi mengalu-alukan pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, Tourism Selangor menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo untuk digunapakai bagi laman sesawang baharu itu antara 15 Julai hingga 30 Julai lalu.

Pertandingan itu berjaya menarik perhatian perekacipta amatur dan profesional dengan lebih 100 penyertaan diterima.

Menurutnya, pemenang dipilih berdasarkan kriteria dan syarat ditetapkan.

“Pejabat Exco Pelancongan Negeri Selangor dan Tourism Selangor memilih rekaan logo ciptaan Mohamad Hanif Akmal Basir sebagai pemenang bagi Pertandingan Mencipta Logo Bagi Laman Sesawang Selangor.Travel.

“Logo baharu itu memperlihatkan kombinasi warna Negeri Selangor dan juga ikon kelip-kelip yang dijangka akan menjadi logo rasmi Tourism Selangor dalam kempen pelancongan yang akan datang.

“Pengenalan laman sesawang Selangor.Travel akan menjadi wajah rasmi kepada Badan Promosi Pelancongan Negeri tersebut terutamanya dalam misi jelajah promosi dalam dan luar negara,” katanya.