'Terminator' Congo dihukum penjara 30 tahun

Ntaganda didapati bersalah atas 18 tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan. - Foto AFP
Ntaganda didapati bersalah atas 18 tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan. - Foto AFP
A
A
A

KINSHASA - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas bekas pemimpin pemberontak Congo dikenali sebagai 'Terminator' selepas disabitkan bersalah kerana jenayah perang termasuk pembunuhan, rogol dan perhambaan seksual.

Hukuman dijatuhkan hari ini adalah yang paling tinggi pernah diberi ICC yang berpangkalan di The Hague.

Bosco Ntaganda, 46, didapati bersalah pada Julai lalu selepas mengarahkan pembunuhan besar-besaran orang awam di wilayah Ituri di Republik Demokratik Congo (DRC) pada 2022 hingga 2003.

Secara keseluruhan, Ntaganda disabitkan dengan 13 tuduhan jenayah perang dan lima jenayah terhadap kemanusiaan.

Dia juga adalah individu pertama yang didapati bersalah atas kesalahan perhambaan seksual.

Sebelum memutuskan hukuman tersebut, hakim ICC telah mendengar kenyataan daripada saksi dan mangsa secara berasingan pada September lalu.

Ketika perbicaraannya, Ntaganda digambarkan sebagai sebagai seorang pemimpin revolusi etnik Tutsi yang kejam di tengah-tengah peperangan yang melanda DRC selepas pembunuhan beramai-ramai etnik itu di Rwanda pada 1994.

Lelaki itu juga merupakan suspek pertama menyerah diri secara sukarela ke ICC di mana pada 2013, dia ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Rwanda dan meminta untuk menghantarnya ke mahkamah di Belanda.

Artikel Berkaitan:

Menurut hakim, Ntaganda adalah pemimpin utama dari segi perancangan dan operasi untuk kumpulan pemberontak Patriot Congo serta sayap ketenteraannya, Angkatan Patriotik untuk Pembebasan Congo (FPLC).

Selain itu, Ntaganda juga bertanggungjawab untuk kesalahan rogol dan perhambaan seksual kanak-kanak bawah umur serta merekrut tentera di bawah usia 15 tahun.

Selepas konflik Ituri, Ntaganda menyertai tentera Congo dan dilantik menjadi Jeneral dari 2007 hingga 2012.

Bagaimanapun, dia kemudiannya menjadi anggota pengasas M23 iaitu sebuah kumpulan pemberontak dalam pemberontakan baharu menentang kerajaan. - Agensi